Golongan asnaf semakin bertambah era Covid-19 - Utusan Malaysia

Golongan asnaf semakin bertambah era Covid-19

ORANG ramai yang berkemampuan disaran melaksanakan potongan zakat bagi menampung perbelanjaan asnaf yang semakin meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ERA pandemik Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak memberi impak kepada masyarakat yang terjejas. Pelbagai inisiatif dan langkah dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dalam membantu golongan ini. MAIN mendapati bahawa keperluan zakat terus meningkat dari semasa ke semasa.

Fenomena pandemik menjejaskan pelbagai sektor ekonomi yang memberi kesan kepada masyarakat dan kutipan zakat itu sendiri. Pandemik menyebabkan ribuan pekerja diberhentikan, malah banyak perniagaan merudum. Kesannya, kutipan zakat juga turut mengalami penurunan.

Paling membimbangkan, mereka yang terjejas ini boleh berubah statusnya menjadi orang miskin. Hal ini telah dipaparkan oleh laporan akhbar mengenai krisis Covid-19 menyebabkan tahap pendapatan rakyat dengan lebih 600,000 isi rumah berpendapatan pertengahan M40 tergelincir ke dalam kategori B40.

Di saat kutipan zakat berisiko menurun, jumlah penerima bantuan pula bertambah. Pastinya senario ini cukup membimbangkan. Oleh itu, marilah kita sama-sama membantu menangani masalah ini dengan mengeluarkan zakat bagi mereka yang cukup dan layak.

Sesungguhnya pensyariatan zakat bertujuan untuk menyuburkan keadilan dalam kehidupan serta membela golongan yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan kepada golongan asnaf malah ia menyucikan harta dan jiwa bagi pembayar zakat.

Ramai masyarakat menunaikan zakat dan memperoleh rebat cukai pendapatan. Rebat ini ialah jumlah cukai yang dikurangkan melalui bayaran zakat. Semakin tinggi jumlah zakat, maka semakin sedikitlah potongan cukai. Sekiranya jumlah zakat menyamai atau melebihi cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya. Rebutlah peluang ini dengan menunaikan zakat di MAIN dan pusat-pusat zakat.

Semoga semakin ramai individu, penjawat awam, syarikat swasta dan badan berkanun menunaikan zakat serta melalui potongan gaji bulanan secara dalam talian yang sangat mudah, boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

MOHD YAKOP IKRAM, Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya