SAUDARA PENGARANG,
APA tindakan wajar yang patut diambil bagi mengatasi atau mengelakkan kemalangan kejutan elektrik yang mungkin berlaku kepada mangsa banjir berikutan hujan lebat?
Masih ramai yang tidak peka berhubung keselamatan berkaitan bahaya elektrik semasa dan selepas rumah dinaiki air. Rumah yang dinaiki air berisiko terjadi renjatan elektrik.
Memandangkan musim tengkujuh yang hampir tiba dan kemungkinan berlaku banjir, saya ingin berkongsi langkah-langkah atau panduan yang perlu dilakukan sekiranya rumah dinaiki air bagi mengelak kemalangan nyawa.
Tindakan tersebut adalah seperti berikut:
-Suis besar hendaklah dipadam segera apabila air mula naik dan masuk ke rumah.
-Jangan pegang atau sentuh dawai atau wayar elektrik yang telah putus sebaliknya hubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan segera.
-Wayar pepasangan dan suis dalam rumah yang ditenggelami air perlu diuji oleh pemborong elektrik yang berdaftar sebelum digunakan semula. Ini kerana wayar dan suis yang lembab dan basah sangat bahaya.
-Semua perkakas elektrik seperti peti sejuk, dapur elektrik, radio dan televisyen yang terendam air hendaklah diuji terlebih dahulu oleh pemborong elektrik yang berdaftar atau orang berkelayakan untuk memperbaiki atau menentukan keselamatan sebelum digunakan semula. Ini bermakna anda dinasihatkan agar menghindari penggunaan sebarang peralatan elektrik.
Melalui langkah-langkah ini, ia dapat mengelakkan kemalangan berkaitan elektrik ketika musim banjir.
BULBIR SINGH, bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan