DIY elak harga barang naik - Utusan Malaysia

DIY elak harga barang naik

TANAMAN menggunakan kaedah hidroponik dapat membantu menyelesaikan masalah kenaikan harga makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SELAIN Covid-19, isu semasa yang sering mendapat perhatian adalah kenaikan mendadak harga barangan asas terutama makanan.

Data perangkaan menunjukkan Malaysia mengimport sebanyak RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport yang hanya RM33.8 bilion pada 2020.

Sementara laporan suku tahunan (Suku Ketiga 2019) Bank Negara Malaysia mengenai import makanan dan kadar pertukaran menyatakan negara ini kekal sebagai pengimport makanan dengan sekurang-kurangnya seperempat daripada jumlah keseluruhan bekalan makanan diimport. Ini bermakna Malaysia masih tidak mencapai tahap berdikari dalam bekalan makanan.

Pakar berpandangan, ia berpunca daripada kebergantungan kepada orang tengah yang mendominasi pasaran.

Penyelesaian yang disarankan agar penguatkuasaan ketat dilaksanakan pada setiap rantaian bermula daripada pengeluar hingga peniaga akhir.

Selain itu, kerajaan diminta mengurangkan pengimportan barangan dari luar negara dan menyokong pembelian barangan buatan Malaysia.
Indeks Kemakmuran Legatum 2021 menarafkan Malaysia di tangga ke-42 daripada 167 negara yang dinilai.

Indeks dikeluarkan oleh Institut Legatum yang berpangkalan di London mengukur berdasarkan 12 dimensi utama. Nampaknya, Malaysia masih mempunyai harapan. Justeru, rakyat diminta mengamalkan budaya do it yourself (DIY) untuk memakmurkan negara.

DIY mengajak kita berbalik kepada perubahan minda dan tingkah laku sosial tanpa bergantung kepada kerajaan. Melalui cara ini, ia jauh lebih menjimatkan, penyelesaian pantas dan unik untuk keperluan diri sendiri.

Orang ramai perlu pertimbangkan untuk mengubah gaya hidup di samping beralih kepada pilihan bahan makanan lebih sihat dengan bertani secara kecil-kecilan, pembelian alternatif barang makanan lebih murah atau dalam kuantiti kecil.

Sementara itu, usahawan tani tempatan juga digalakkan menjual produk sendiri pada harga berpatutan. Jika rakyat bersolidariti, pastinya tidak timbul masalah kenaikan harga.

Dari segi dasar pertanian dan keusahawanan juga sewajarnya digubal ke arah keutamaan pasaran domestik khususnya faktor kawalan kualiti dan harga.

NUR HANIM, Dengkil, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya