SAUDARA PENGARANG,
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip sebanyak RM109 juta dalam tempoh empat hari (sehingga 12 Disember) semenjak melancarkan diskaun saman sebanyak 80 peratus sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia,
Dianggarkan jumlah kutipan saman boleh mencecah sehingga RM450 juta pada hujung tahun ini. Jumlah tersebut mengatasi tahun sebelumnya yang merekodkan sebanyak RM395.4 juta.
Kaedah pembayaran melalui platform portal dan aplikasi MyBayar Saman dilihat membantu mempercepatkan proses pembayaran saman oleh orang ramai di samping pembayaran di kaunter. Ada yang sanggup beratur sejauh 500 meter di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk membayar saman kerana tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.
Melalui peningkatan bayaran saman ini, jelas menunjukkan kes saman trafik tidak menunjukkan penurunan. Pihak kerajaan dan polis trafik khasnya jangan terlalu berpuas hati dengan kadar kutipan saman yang tinggi ini, sebaliknya menyedari bahawa peningkatan kadar kesalahan di jalan raya mencerminkan pelanggaran undang-undang trafik yang semakin meningkat.
Di sudut orang awam pula, mereka seakan-akan tidak patuh dan bersikap sambil lewa terhadap undang-undang jalan raya khususnya berkaitan kesalahan mandatori seperti memandu melebihi had laju, memotong garisan berkembar dan sebagainya kerana kesalahan berat tersebut boleh dikompaun atau dikurangkan.
Memang di satu sudut memberikan diskaun saman seperti ini banyak membantu dalam mengurangkan beban kewangan pesalah jalan raya tetapi adakah adil bagi kesalahan yang boleh mengundang kecederaan, kematian atau kerugian harta benda boleh ditebus hanya dengan bayaran di kaunter atau dihujung jari sahaja?
Kita khuatir nanti, pemandu akan terus menerus mengabaikan undang-undang jalan raya kerana menganggap kesalahan atau saman boleh dibayar ketika kerajaan mengadakan kempen atau tawaran diskaun.
Selain itu, dikhuatiri sekiranya usaha kerajaan dalam memberi diskaun bagi kesalahan di jalan raya hanya menjadi penyebab pemandu semakin tidak berhemah di jalan raya.
Oleh itu, lebih baik kerajaan mengkaji semula pemberian diskaun saman trafik terutama terhadap kesalahan pandu secara laju. Walaupun rakyat memerlukan perhatian dan pembelaan, namun pemberian diskaun ini perlulah adil dan sesuai dengan kesalahan trafik yang dilakukan. Jangan nanti disiplin pemandu semakin rendah dan kadar kemalangan meningkat gara-gara mereka memilih untuk tidak mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan.
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang