SAUDARA PENGARANG,
SECARA bahasa, masjid berasal daripada perkataan Arab, sajada, yasjudu dan sujudan bererti patuh, taat dan tunduk dengan penuh hormat.
Hakikatnya, masjid menjadi tempat melakukan segala aktiviti berorientasikan kepatuhan kepada Allah SWT.
Masjid bukan sekadar tempat sujud dan penyucian sebaliknya simbolik kepada umat Islam untuk menterjemahkan sikap dan adab terbaik di situ.
Fenomena hari ini apabila disebut masjid, kita membayangkan binaan yang cukup indah tersergam dengan hamparan permaidani berkualiti, berhawa dingin selain membayangkan tempat untuk solat berjemaah atau hari raya.
Sehingga ada menganggap masjid sebagai lambang kemegahan dengan ciri-ciri seni bina terkini, fasiliti terbaik dan bentuk binaan lain daripada yang lain.
Sedangkan penghayatan takwa yang menjadi matlamat utama pembinaan masjid itu tersasar jauh. Siapakah yang harus sedar untuk menghayati masjid sebagai medan menggilap takwa?
Adakah pengerusi masjid dan ahli jawatankuasa semata-mata? Jawapannya ialah masyarakat Islam itu sendiri.
Masjid Nabawi di Madinah menjadi testimoni terbaik. Tingkah laku masyarakat Islam di Madinah jelas berbeza dengan tempat-tempat lain dan hal ini disedari oleh kebanyakan kita yang pernah ke sana.
Dengan ketertiban sewaktu berbicara menggunakan bahasa halus, ketika berniaga mementingkan senyuman dan tutur kata, semasa memandu kenderaan dengan memberi laluan kepada pejalan kaki dan banyak lagi yang merupakan pancaran akhlak lantaran menjiwai masjid sebagai medan menjana akhlak Islam.
Di Malaysia, pernahkah kita membantu menghampar sejadah, membuang kotoran atau membersihkan tandas masjid?
Semua ini akan menjadikan kita umat Islam terbaik hasil terbitnya kecintaan kepada institusi masjid secara sukarela.
Lebih ramai masyarakat Islam yang melakukannya, maka lebih banyak insan berwatakkan ‘orang masjid’ akan menyumbang kepada kemajuan dan keamanan umat Islam.
DR. MOHD. ZAMRUS MOHD. ALI, Pensyarah Kolej Genius Insan.