SAUDARA PENGARANG,
BUMBUNG hijau dikenali sebagai instrumen jimat tenaga di kebanyakan bangunan berteknologi hijau di serata dunia.
Meskipun agak asing dalam kalangan rakyat Malaysia, landskap seni bina tempatan juga tidak ketinggalan memperagakannya sebagai mahkota kebanggaan bangunan yang turut menyumbang nilai tinggi kepada Indeks Bangunan Hijau (GBI) – satu penarafan kelestarian sesebuah pembangunan baharu di negara ini.
Kini, isu kepupusan persekitaran hijau dan kawasan rekreasi semakin meruncing sehingga ia dinilai sebagai ciri mewah yang diniagakan di kawasan elit, sedangkan akses kepada laman hijau dan rekreasi adalah hak setiap individu tanpa mengira status sosial.
Justeru, potensi bumbung hijau dilihat sebagai penyelesaian ideal bagi permasalahan ruang rekreasi yang terhad di kawasan bandar.
Namun, bumbung hijau sedia ada tidak dibuka atau mengehadkan kunjungan umum berikutan isu keselamatan dan kos penyelenggaran yang dibimbangi bakal menambah perbelanjaan kepada kos pembinaan yang mahal.
Kebimbangan terhadap isu keselamatan ini berdasarkan latar masyarakat tempatan yang kurang cakna terhadap kepentingan menjaga prasarana awam bagi kemudahan bersama lalu menjadi punca kepada gejala vandalisme.
Budaya tidak sihat ini menjadi pemangkin kepada lahirnya panduan yang menggariskan keperluan reka bentuk kalis vandalisme bagi setiap kemudahan yang disediakan di tempat awam dan keperluan menggaji pegawai keselamatan bertujuan memantau etika orang awam di taman rekreasi.
Penerapan strategi taman mesra awam yang selari dengan fungsi bumbung hijau mampu menarik minat orang ramai untuk berkunjung.
Akses orang awam terhadap bumbung hijau sebagai tempat awam perlu dilazimi bagi mengetengahkan bumbung hijau sebagai prasarana awam yang penting bagi memastikan kelestarian persekitaran hijau di kawasan bandar dan luar bandar agar tidak menjadi terlalu eksklusif untuk dinikmati segenap lapisan masyarakat
AZLAN ARIFF ALI ARIFF, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.