SAUDARA PENGARANG,
TERPERANJAT saya apabila membaca berita mengenai segelintir orang Melayu di bandar cenderung menganggap pegangan agama sebagai sudah tidak bermakna lagi.
Apa yang ingin saya bangkitkan, kenapa ada orang Melayu bersikap sedemikian kerana ia bukan sahaja berkait dengan soal pengabaian amal ibadat tetapi boleh menyentuh soal perkahwinan.
Kita harus sedar, apabila disebut seseorang rakyat Malaysia berbangsa Melayu, secara automatik orang akan faham individu berkenaan adalah beragama Islam.
Apabila pemikiran sedemikian wujud dalam kalangan orang Melayu, dikhuatiri mereka tidak mahu ambil kisah lagi soal perkahwinan.
Tidak mustahil mereka akan bercampur gaul secara bebas lelaki dan perempuan lantas mungkin akan berlaku banyak kes kelahiran anak luar nikah.
Ini bukan perkara boleh dipandang remeh. Ia bukan cerita dongeng. Ia diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sekali lagi ingin saya bertanya, kenapa keadaan sedemikian wujud dalam kalangan orang-orang Melayu di bandar? Apakah apabila mereka sudah hidup senang-lenang di bandar, mereka berpendirian pegangan agama sudah tidak penting lagi?
Teringat saya kisah yang disebut dalam al-Quran, seseorang manusia akan lupa segalanya semasa mereka dilimpahi nikmat dan kesenangan.
Mereka hanya akan insaf apabila ditimpa kesusahan dan penderitaan seperti musim kemarau yang memusnahkan segala tanaman, ribut kencang dan gempa bumi kuat atau semasa mereka menaiki kapal menempuh laut bergelora dalam gelap-gelita.
Ketika itu baru mereka ingat kepada Allah SWT dan merayu agar dilepaskan daripada segala malapetaka tersebut. Namun, segalanya sudah tidak berguna lagi.
Inilah yang hendak diingatkan kepada orang Melayu bandar yang lupa diri tersebut. Ingatlah, kesenangan dan kemewahan hidup tidak dijamin kekal untuk mereka miliki selamanya.
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis.