SAUDARA PENGARANG,
CADANGAN bagi mengehadkan jawatan ketua eksekutif atau pemimpin tertinggi negara kepada dua penggal yang sedang hangat diperkatakan patut juga diperluaskan kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pada masa ini, tiada peruntukan undang-undang yang mengehadkan tempoh jawatan seseorang untuk menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.
Bagi saya, penting supaya peluang mencukupi dapat diberikan kepada semua warganegara yang layak untuk tampil bertanding dan seterusnya menjadi wakil rakyat.
Pada masa sama, kita dapat elak individu tertentu menjadi wakil rakyat untuk satu tempoh sangat lama hingga boleh terdedah risiko salah guna kuasa, rasuah dan kesalahan-kesalahan lain.
Ia juga bagi mengelakkan sebarang tanggapan negatif yang datang daripada orang ramai terhadap mana-mana individu yang terlalu lama menjadi wakil rakyat.
Dengan mengehadkan tempoh jawatan yang dipegang oleh semua wakil rakyat ini juga, kita dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada muka-muka baharu yang memiliki idea-idea lebih bernas untuk memberi khidmat kepada rakyat dan membangunkan negara.
Kuasa monopoli mana-mana individu dalam memegang jawatan wakil rakyat sama ada sebagai ahli Parlimen atau ADUN perlu dikawal dan dihadkan demi kemajuan dan kemakmuran negara.
Setiap rakyat berpeluang menjadi Yang Berhormat (YB) sekiranya kerajaan akur dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh khidmat Perdana Menteri kepada dua penggal.
Semenjak mencapai kemerdekaan pada 1957, Parlimen ialah institusi perundangan tertinggi di dalam negara yang menggubal undang-undang dengan Dewan Rakyat dianggotai seramai 222 ahli dan setiap ahli mewakili satu kawasan pilihan raya.
Ahli-ahli dipilih atas dasar sokongan ramai melalui pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun. Parti yang memperoleh kerusi majoriti akan membentuk Kerajaan Persekutuan bagi mentadbir negara.
Sistem sama juga diamalkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, DUN memiliki bilangan wakil yang berbeza mengikut jumlah penduduk dan kawasan di negeri masing-masing.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ruang dan peluang yang luas harus diberikan kepada semua pihak untuk tampil menjadi wakil rakyat dan menyumbang bakti mereka kepada negara.
Sampai bila rakyat kita hendak tengok muka-muka sama dan idea-idea yang sama setiap kali Dewan Rakyat dan DUN bersidang?
Negara kita tidak boleh hanya bergantung pada individu-individu tertentu untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin dalam pentadbiran kerajaan. Ramai lagi yang layak untuk masuk bertanding dalam proses pilihan raya serta menjadi wakil rakyat.
Ruang dan peluang mencukupi perlu diberikan kepada semua rakyat untuk bekerja dan berkhidmat sebagai wakil rakyat. Sudah sampai masanya negara kita mengambil satu langkah lebih berani dan drastik.
Semua pihak harus melihat cadangan ini dari sudut positif iaitu bagi mengukuhkan lagi prinsip dan amalan demokrasi di negara kita.
Kerajaan dan semua pemimpin boleh meneliti cadangan ini dengan lebih teliti bersama pakar-pakar berkaitan sebelum membuat keputusan muktamad.
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).