SAUDARA PENGARANG,
SUARA-SUARA yang mendorong serta berpandangan gabungan politik di bawah Perikatan Nasional (PN) harus berpisah disifatkan sebagai keliru dan destruktif. Hujahan yang disampaikan tidak melihat dari segi pelbagai dimensi harus difikirkan kembali.
Sebenarnya, gabungan politik tersebut membawa kebaikan yang tidak pernah difikirkan. Sudah sampai masanya pemimpin kerajaan dan ahli politik berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil sebarang keputusan drastik sesuai dengan status eksekutif dan kematangan.
Jika dilihat, kesalinghubungan dalam tempoh 100 hari pemerintahan amat serasi dan membanggakan. Pembahagian tugas atas gabungan ini sepatutnya lebih dinamik pada masa mendatang dengan bersikap toleransi, bertanggungjawab, setia, jujur dan ikhlas sekali gus dapat menghalang daripada terbubarnya kerajaan ini.
Dimensi politik abad ini khususnya politik Melayu Islam bertanggungjawab membina ikatan padu untuk terus memartabat Rukun Negara yang pertama. Kita perlu bersedia berdepan politik global yang penuh cabaran.
Undang-undang dan polisi perlu sesuai dengan syariat dan ajaran Islam agar masyarakat terutamanya beragama Islam semakin dekat dengan nilai-nilai kemanusiaan.
Hubungan (keterikatan) erat agama dan politik menunjukan kelengkapan dan kesempurnaan ajaran lslam. Dari aspek inilah pemerintahan Islam menunjukan signifikan termasuk hal berkaitan kewajipan seorang Muslim yang tidak boleh menghalalkan segala cara hanya untuk mencapai tujuan sendiri sebaliknya mengutamakan kepentingan masyarakat.
Idea gabungan ini dalam hubungan internal dan eksternal yang kukuh dapat mengelakkan campur tangan asing dalam urusan negara.
Oleh itu, berilah masa dan ruang untuk gabungan ini bergerak dalam pilihan raya umum akan datang. Gabungan ini akan bertindak secara positif demi kebaikan Melayu Islam.
WOBABO, Melaka