SAUDARA PENGARANG,
KANAK-KANAK perlu didedahkan dengan aktiviti membaca sejak awal usia dalam membentuk minat terhadap aktiviti ilmu tersebut. Orang dewasa juga memerlukan pendedahan kepada tabiat membaca supaya ia menjadi budaya. Tabiat membaca yang dipupuk sejak awal dapat memberi contoh kepada generasi akan datang.
Dalam usaha memupuk minat membaca, saya mencadangkan agar ia dimulakan dengan membaca bahan bacaan yang nipis sebagai perangsang sebelum membaca buku yang lebih tebal.
Selain buku nipis, anda juga boleh membaca majalah ilmiah dalam mencetuskan semangat membaca. Majalah ilmiah yang berada di pasaran sesuai dalam membentuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Ini kerana ia membahaskan sesuatu topik secara ringkas dan padat sekali gus menimbulkan semangat ingin tahu pembaca untuk mencari buku-buku yang lebih terperinci dalam membahaskan tajuk yang diminatinya.
Pemberian hadiah berupa buku juga boleh mendorong seseorang untuk membaca. Saya pernah menerima beberapa buah buku oleh pemilik kedai buku di Kangar ekoran menjadi pelanggan tetapnya. Hadiah yang diberikan itu menyuntik semangat untuk saya terus menjadi seorang yang teruja dengan buku.
Selain itu, anda mungkin juga boleh ke kedai atau pameran buku. Anda boleh luangkan masa membelek-belek buku sehingga menjumpai buku yang diminati. Ini adalah langkah awal untuk menarik minat dalam aktiviti membaca.
Membaca surat khabar dan novel juga adalah satu cara yang bagus untuk memupuk minat seseorang untuk membaca. Garapan cerita yang menarik dan diselit unsur-unsur pengajaran dapat menarik semangat membaca.
Yang terakhir, cuba berkawan dengan mereka yang menggemari buku. Secara tidak langsung aura positif mereka dapat menarik minat anda untuk membaca.
Cubalah beberapa tip ini. Saya yakin anda akan merasai keseronokannya. Semoga panduan ini dapat membantu menarik minat anda dalam aktiviti membaca sekali gus membentuk masyarakat berilmu.
ASWADYQALBINADA, Persatuan Penulis Perlis (3P)