SAUDARA PENGARANG,
AKTIVITI kesukarelawan atau khidmat masyarakat semakin berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. Ia bukan sahaja mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahkan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Selain menuntut ilmu di universiti dan bergiat aktif dalam aktiviti di dalam kampus, para mahasiswa juga digalakkan menceburi aktiviti di luar kampus seperti menjadi sukarelawan.
Seperti kita tahu, menjadi seorang sukarelawan merupakan tugas yang amat mulia. Oleh yang demikian, usaha murni ini merupakan platform terbaik bagi merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat.
Aktiviti ini sangat digalakkan kepada mahasiswa kerana pada masa sekarang, dunia diserang virus Covid-19. Hospital mengalami kekurangan kakitangan untuk merawat pesakit yang semakin bertambah.
Antara inisiatif kerajaan untuk membantu hospital adalah dengan mempelawa mahasiswa menjadi sukarelawan bagi melancarkan proses pemberian vaksin. Oleh itu, mahasiswa haruslah merebut peluang ini agar dapat memperoleh pengalaman baharu selain menolong orang dalam kesusahan.
Menjadi sukarelawan bukan perbuatan sia-sia, bahkan melalui aktiviti itu dapat membentuk keperibadian yang baik seperti suka menolong orang lain.
Semasa menyertai aktiviti sukarelawan, terdapat banyak pengalaman dan pengetahuan yang mahasiswa peroleh seperti kemahiran berkomunikasi yang baik, kemahiran berorganisasi dan sebagainya.
Mereka juga boleh menjadi sukarelawan untuk aktiviti lain seperti memberi motivasi kepada pelajar sekolah.
Kesimpulannya, menjadi sukarelawan mahasiswa amat digalakkan.
Hari ini kita menolong orang, nescaya kelak kita juga akan ditolong apabila ditimpa kesusahan.
AUNI NAJAHUL QIRANA MOHD. KHAZANI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)