SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN berhadapan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan akibat pandemik Covid-19, masih ramai yang terlalu memilih kerja termasuk sektor pembantu rumah.
Kesan daripada permasalahan ini menyebabkan pekerjaan sebagai pembantu rumah banyak dikuasai oleh warga asing. Contohnya, pembantu rumah kebanyakannya berasal dari Indonesia, Kemboja dan Filipina.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan fenomena ini. Salah satunya kerana pekerjaan ini memerlukan tahap kesabaran tinggi.
Hal demikian kerana pembantu rumah perlu mendengar dan patuh pada setiap arahan yang diberikan oleh majikan tanpa sebarang bantahan.
Pembantu rumah perlu melakukan kerja yang banyak setiap hari seperti memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian. Jadi, mereka tidak mempunyai masa yang banyak untuk berehat.
“Kerja yang membosankan, tiada masa hadapan dan tiada masa bersosial.” Ini kata-kata yang biasa didengar bagi menggambarkan situasi kerja sebagai pembantu rumah hingga ia gagal menarik minat golongan muda.
Ini kerana mereka tidak diberikan perlindungan insurans, skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, pekerjaan ini tidak dikawal selia oleh undang-undang seperti pekerja lain. Mereka boleh diberhentikan pada bila-bila masa sahaja oleh majikan jika tersilap langkah.
Mendapat gaji yang rendah juga merupakan salah satu faktor terbesar yang menyumbang kurangnya minat penduduk tempatan untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
Mereka beranggapan gaji sebagai pembantu rumah lebih rendah dibandingkan pekerjaan lain. Oleh yang demikian, mereka lebih berminat untuk bekerja di kilang yang menawarkan gaji lebih tinggi.
Selain itu, gaji yang diterima oleh pembantu rumah tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Di samping itu, tahap pendidikan warga tempatan yang tinggi tidak menggalakkan mereka untuk menceburkan diri dalam bidang ini.
Malahan, mereka mampu untuk memperoleh pekerjaan yang bergaji lebih tinggi dan baik demi masa depan. Kita juga sedia maklum, dari pandangan Islam, gigih mencari rezeki dan kesenangan dunia itu turut digalakkan oleh agama.
Kekayaan dan kesenangan hidup bukan sahaja dapat memberi jaminan masa depan yang baik, malah mampu menjadi penyumbang utama dalam memakmurkan umat.
Oleh itu, kita tidak boleh menghalang rakyat tempatan yang bijak mencari peluang pekerjaan lain bagi memenuhi kehendak masing-masing.
Pasaran kerja kini lebih bersifat dinamik ekoran perubahan pesat dalam penggunaan teknologi terkini serta kepelbagaian keperluan oleh majikan.
Namun, hakikatnya bekerja sebagai pembantu rumah sebenarnya bukan pekerjaan yang hina seperti tanggapan masyarakat kini. Pekerjaan ini juga halal di sisi agama dan sesiapa yang bekerja keras akan membuahkan hasilnya kelak.
Hal di atas sejajar dengan perintah Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 105 yang bermaksud:
“Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
Kesimpulannya, pihak yang bertanggungjawab perlulah mengambil tindakan bagi menarik minat rakyat tempatan untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
NUR FATIMAH ZAHRAA’ MUHADZIR, Nilai, Negeri Sembilan.