SAUDARA PENGARANG,
ISU kenaikan harga barang, terutama makanan utama masih menjadi-jadi. Banyak pihak menyalahkan pemerintah walaupun pelbagai operasi dilakukan agensi tertentu bagi membanteras perbuatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
Dalam pada itu, sejak kebelakangan ini, saya mendapati ramai pula pemimpin parti politik mengambil peluang untuk menjadi juara membela rakyat dengan bercakap mengenai isu kenaikan harga barang.
Pemimpin terbabit tidak perlu ambil peluang kononnya untuk membela rakyat kerana mereka setiap hari tidak pernah jemu menikmati pelbagai jenis makanan menyelerakan ketika ramai penduduk kampung menjadikan ikan tamban kering sebagai lauk.
Kenaikan harga barang berpunca permintaan yang tertinggi berbanding penawaran. Walaupun pelbagai nasihat telah diberikan supaya menjaga kesihatan tetapi masih ramai yang cuba makan sebanyak mungkin.
Penyakit yang ada pada manusia hari ini, sebenarnya ada kaitan dengan cara pengambilan makanan sedap tetapi membawa risiko penyakit berpanjangan.
Sepatutnya, penduduk di negara ini perlu pandai memilih makanan. Kalau ayam, daging dan sayur-sayuran mahal, tidak payah beli sebaliknya makanlah makanan lebih murah.
Setakat ini, belum ada laporan dikeluarkan mana-mana pihak, individu tidak makan ayam, daging dan sayur-sayuran mati mengejut. Tidak guna makan makanan sedap tetapi akhirnya berdepan dengan pelbagai penyakit.
Kenaikan harga barang, terutama makanan kerana ada pembelinya. Makanan sudah pasti akan menjadi murah jika tidak laku.
ABD. RAZAK OSMAN, Sungai Petani, Kedah.