SAUDARA PENGARANG,
RESPONS terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menyaksikan banyak kerusi penyandang terpukul oleh amukan sang biru tua iaitu parti keramat orang Melayu, Barisan Nasional (BN).
Malah tidak dijangkakan oleh banyak pihak, BN berjaya menyapu bersih memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingan sekali gus mencapai keputusan melebihi dua pertiga undi. Apakah ini antara petanda kebangkitan gelombang biru tua?
Di sisi lain, adakah kemenangan bergaya parti keramat tersebut dianggap sebagai representasi untuk mengusulkan agar pilihan raya umum diadakan serentak dengan PRN DUN Sarawak atau seawal-awalnya Mac depan?
Nampaknya sang biru tua agak ghairah seolah-olah tampak sudah yakin untuk bertempur di medan sebenar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Namun, diingatkan juga bahawa kekalahan parti lawan yakni blok pembangkang dalam PRN Melaka bukanlah ukuran sebenar yang menunjukkan UMNO telah cukup kuat dan gah.
Sebaliknya disebabkan kempen PRN yang ketat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat menyukarkan parti lawan menggerakkan jentera dengan lebih berkesan.
Selain itu, faktor peratusan mereka yang keluar mengundi pada PRN kali ini agak rendah berbanding PRU14. Ini bermakna masih terlalu awal untuk mengatakan parti-parti pembangkang sudah dianggap lemah.
Ini kerana PRN Melaka sebenarnya hanya dijadikan tanda aras bagi semua parti politik yang bertanding untuk mengatur strategi serta membuat beberapa persiapan rapi sebelum tibanya PRU15.
Adakah selepas kemenangan BN itu menjadi alasan pimpinan Pas akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) atau UMNO sendiri sudah serik untuk bersama Pas lagi?
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang