SAUDARA PENGARANG,
BANYAK restoran besar mengupah pekerja migran. Dalam banyak keadaan, nampaknya pekerja-pekerja migran ini diamanahkan sepenuhnya untuk mengendalikan perniagaan.
Walaupun majikan mungkin tidak hadir di situ, tetapi restoran-restoran ini berfungsi dengan lancar, sekurang-kurangnya memenuhi segala keperluan pelanggan.
Kita makan di situ, bayar kepada juruwang yang berkemungkinan besar juga seorang pekerja migran dan kemudiannya beredar.
Jarang sekali kita merenung sama ada ini sesuatu yang normal, kerana luaran yang efisien boleh menyembunyikan keadaan perhambaan zaman moden.
Kebanyakan orang biasanya membayangkan perhambaan sebagai persekitaran kerja yang teruk dengan seorang pemilik hamba yang memegang cambuk, serta orang yang kelihatan muram dan lebih rendah darjat yang diikat dengan rantai.
Perhambaan zaman moden selalunya tidak mempunyai kesan visual sebegini, tetapi ia agak berleluasa. Kebanyakan pekerja migran bukan orang yang bebas.
Pasport mereka biasanya diambil oleh majikan, bukan sahaja untuk tujuan penyimpanan dengan selamat seperti yang dinyatakan secara rasmi.
Pasport yang dipegang oleh majikan sering dijadikan alat untuk mengawal dan menjinakkan pekerja khususnya dalam keadaan gaji tidak dibayar, kerja tidak berbayar dan sebagainya.
Ia bagaikan cambuk ghaib dalam tangan pemilik hamba moden. Dalam keadaan paling zalim, ia boleh digunakan untuk menjadikan seseorang pekerja migran itu tidak berdokumen serta-merta dan menafikan sepenuhnya sebarang hak.
Baru-baru ini, enam pekerja migran menghadapi keadaan tertekan apabila pemilik restoran menghalau mereka keluar dan menutup premisnya.
Pekerja-pekerja yang sudah bekerja antara lima hingga 10 tahun ini akhirnya memberanikan diri untuk berhenti kerja demi menuntut gaji mereka yang lama tertunggak.
Majikan mereka melanggar Akta Kerja 1955 dengan tidak membayar gaji dan bayaran kerja lebih masa (OT) selama setahun.
Kegagalan majikan membayar gaji untuk tempoh yang panjang ini mendatangkan masalah serius kepada keluarga pekerja-pekerja ini yang tinggal di India.
Keluarga-keluarga ini bergelut dalam kesusahan untuk menampung kehidupan, dan berdepan dengan gangguan daripada pemberi pinjaman wang.
Lebih teruk lagi, ketegangan yang timbul membawa kepada perpecahan keluarga dan perkahwinan mereka berada di ambang keruntuhan.
Tindakan drastik majikan membuang pekerja ini bukannya sesuatu yang dijangka, dan pekerja-pekerja ini tiba-tiba mendapati diri mereka berada dalam situasi menakutkan.
Mereka tiada wang, tiada pasport dan tiada permit kerja, malah tiada sesiapa untuk mereka meminta bantuan.
Perhambaan zaman moden berbunyi seolah-olah jarang berlaku, tetapi ia tersembunyi di sebalik luaran di banyak tempat kerja yang nampaknya elok.
Kita ada undang-undang seperti Akta Kerja dan Akta Pasport 1966, tetapi tanpa penguatkuasaan, tanpa pemeriksaan pematuhan undang-undang perburuhan ke atas tempat pekerjaan, pekerja-pekerja sama ada pekerja migran atau pekerja tempatan, masih kekal tidak dilindungi.
Pegawai-pegawai di Jabatan Tenaga Kerja mendakwa, mereka kekurangan kakitangan.
Jika memang begitu, kenapa kerajaan tidak menyediakan peruntukan dana lebih besar untuk tujuan pemeriksaan pematuhan undang-undang perburuhan?
Tanpa penguatkuasaan berkesan, undang-undang yang sepatutnya melindungi pekerja itu hanya sekadar di atas kertas.
RANI RASIAH, Kuala Lumpur.