Wujud muzium pengangkutan awam darat - Utusan Malaysia

Wujud muzium pengangkutan awam darat

MUZIUM Pengangkutan London ialah pusat sehenti yang mempamerkan sejarah pengangkutan awam darat di United Kingdom. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini tular di saluran YouTube mengenai tren transit aliran ringan (LRT) yang terbiar di Ulu Yam, Selangor. Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerusi satu kenyataan telah mengesahkan bahawa tren berkenaan bukan lagi milik mereka.

Untuk makluman, tren model Adtranz-Walker seperti ditularkan dalam video berkenaan adalah set tren LRT pertama negara yang dahulunya dikenali Star LRT.

Jika melihat rakaman video itu, tren berkenaan kelihatan sangat usang akibat terdedah kepada elemen cuaca. Sedih melihat kenderaan pengangkutan awam yang pernah menabur bakti berkhidmat kepada warga kota dibiarkan mereput begitu sahaja.

Adakalanya kenderaan lama seperti bas dan lokomotif menjadi pilihan usahawan yang kreatif dengan mengubahsuainya menjadi restoran dan kedai gunting rambut bergerak selain menjadi penghias di hadapan premis perniagaan.

Di negara Eropah, bas, trem dan lokomotif yang telah ditamatkan perkhidmatan tidak semuanya akan dilupuskan sebaliknya sebahagian kecil dipulihara untuk dipamerkan di muzium khas pengangkutan awam seperti yang boleh dilihat di Muzium Pengangkutan London.

Dicadangkan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Muzium Malaysia bekerjasama untuk mewujudkan muzium pengangkutan awam darat bagi memaparkan sejarah pengangkutan awam di negara ini.

Contoh kenderaan lama yang boleh dipamerkan adalah bas mini, tren LRT pertama negara, relbas KTMB dan kereta api funikular Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Muzium ini bukan sahaja dapat menarik pengunjung tempatan tetapi juga peminat pengangkutan awam dari luar negara.

Saya pasti ramai rakyat Malaysia ingin mengimbau semula nostalgia selain dapat menjadi tatapan generasi muda masa kini dan akan datang.

PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya