SAUDARA PENGARANG,
SUASANA di Kuala Lumpur kembali meriah dengan aktiviti seni dan budaya melalui Art In The City (AITC) 2021 dari 14 Oktober hingga 28 Disember ini anjuran Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana).
Acara ini bertujuan menyokong pemulihan sektor industri kreatif yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 melibatkan penganjuran lebih 100 program dibiayai melalui dana kerajaan dengan sokongan 8,000 penggiat budaya seperti persembahan muzik, tarian, kraf, teater, makanan, warisan dan sejarah. Kita sedar, dalam menghadapi cabaran pandemik, ramai golongan seniman terjejas.
Program AITC bertepatan pada waktu untuk membantu mengembalikan semangat dan jati diri petugas serta penggiat seni bagi menyegarkan lagi kelestarian seni dan budaya negara walaupun harus mengadaptasi diri dengan norma baharu.
Saya yakin seni dan budaya kita boleh menjadi sumber kebanggaan dan unsur yang menyatukan semua lapisan masyarakat.
Sewaktu memberi perhatian kepada industri seni dan budaya untuk pulih kembali, kita harus melindungi sumber mata pencarian penggiat industri, mengekalkan dan menghidupkan kembali kemampuan dan bakat serta dengan penuh tekad, beralih ke platform baharu dengan khalayak lebih luas iaitu melalui digitalisasi.
Semoga AITC dapat memberi sinar baharu kepada masyarakat dan menyemarakkan lagi industri seni dan budaya.
Budaya, tradisi dan bahasa adalah asas jati diri kita. Dalam mengejar arus pembangunan, jangan sesekali kita membiarkan asas ini binasa. Seni dan budaya adalah warisan berharga bagi negara.
Melalui khazanah ini, kita akan dapat menyerlahkan lagi wajah cerah bangsa yang lahir dari naluri dan usaha.
Tanpa wajah ini dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai-nilai masyarakat kita juga pasti akan luput bersama bangsanya.
PROF. EMERITUS MUHAMMAD SALLEH, Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia (Persalima).