SAUDARA PENGARANG,
PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara kita memberikan impak cukup besar kepada semua pihak. Sektor ekonomi menerima impak secara langsung.
Ramai dalam kalangan kita yang hilang pekerjaan dan sehingga kini masih menganggur.
Situasi semasa dalam usaha memasuki fasa endemik ini nampaknya sedikit terganggu dek sudah terdengar beberapa desakan daripada pemain industri yang memohon kerajaan agar diberi kelonggaran mengambil pekerja asing.
Antara desakan itu melibatkan pengambilan pekerja asing dalam sektor pembinaan dan pertanian berikutan kebergantungan terhadap pekerja asing mencecah sehingga 70 peratus.
Majikan yang mahu membawa masuk pekerja asing perlu menanggung semua kos berkaitan termasuk saringan dan kuarantin wajib yang dikenakan terhadap tenaga kerja terbabit sebaik sahaja tiba di negara ini.
Saya fikir perkara ini tidak wajar dilaksanakan kecuali sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar). Sewajarnya peluang pekerjaan ini diberikan keutamaan kepada pekerja tempatan.
Memang terdapat beberapa faktor yang menyebabkan sesetengah industri tidak mendapat sambutan pekerja tempatan dan antara isu pokok adalah bayaran gaji yang rendah dan persekitaran tempat kerja kurang sesuai.
Sekiranya masih lagi ada pemain industri yang tidak mahu berganding bahu untuk membaiki masalah itu dan seterusnya membantu rakyat tempatan, maka pada siapa lagi kita boleh harapkan?
Semua pihak harus saling memahami dalam mendepani masa sukar ini. Kita sudah hampir menang, namun kita tidak mahu perkara seperti ini memberikan tekanan kepada rakyat.
Tindakan tuntas daripada kementerian berkaitan wajar dilaksanakan segera. Sesi libat urus harus sentiasa dilakukan bagi memastikan kemapanan sektor ekonomi dan kesejahteraan negara.
Sudah pasti sekiranya perkara ini dapat ditangani dengan baik, maka banyak masalah dapat diselesaikan dan seterusnya memberi impak positif kepada kehidupan rakyat terbanyak.
MOHD. FIRDAUS ABD. MUNIR, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, Pahang.