Tiba masa TUDM ganti radar - Utusan Malaysia

Tiba masa TUDM ganti radar

JET pejuang halimunan, J-20 melakukan penerbangan secara berkumpulan di Beijing, China pada 19 Jun lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 31 Mei lalu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendedahkan pihaknya mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat tentera udara China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah dan menghampiri ruang udara nasional.

Pesawat tersebut dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara (CRC) 2 yang dikendalikan oleh Skuadron 340 Bukit Kubong, Labuan dan Skuadron 330 Kota Samarahan, Kuching.

TUDM melancarkan pesawat-pesawat pemintas Hawk 208 untuk melakukan identifikasi visual dan mengenal pasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis pesawat pengangkut serba guna berenjin empat, llyushin Il-76 dan Xian Y-20.

Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi.

Walaupun insiden yang mengancam kedaulatan negara telah lama berlaku, saya bimbang terjadi banyak pencerobohan melibatkan pesawat jenis lain tetapi tidak dapat dikesan oleh radar TUDM.

Seperti yang kita tahu, tentera China sudah mempunyai 50 pesawat halimunan, J-20 dan kini giat mengeluarkan versi lain dengan cadangan tambahan 50 buah lagi jet pejuang kalis radar yang boleh dilancarkan dari tiga kapal pengangkut pesawat milik negara itu.

Radar TUDM perlu ditingkatkan agar menyamai radar canggih SLC-7, JY-26 dan LC-8E milik China serta Nebo-M milik Rusia yang mempunyai keupayaan mengesan pesawat halimunan.

Selain radar, untuk menembak jatuh pesawat halimunan memerlukan sistem pertahanan udara lebih moden dengan keupayaan pelancaran peluru berpandu permukaan ke udara (SAM) seperti S-400 Triumf yang dibeli India dari Rusia.

TUDM perlu banyak belajar daripada India yang telah merangka strategi untuk menghadapi pencerobohan pesawat halimunan dari China setelah rancangan negara tersebut membina pesawat jenis itu dengan kerjasama Rusia tergendala kerana pelbagai masalah.

Dalam pada itu, diharapkan semua pesawat baharu yang ingin dibeli TUDM harus berada dalam kategori jet pejuang generasi kelima yang antara ciri utama adalah sukar dikesan radar kerana pengalaman peperangan di Syria membuktikan jet pejuang biasa mudah ditembak jatuh oleh peluru berpandu terbaharu.

Di Syria, Amerika Syarikat (AS) terpaksa bergantung kepada dua jenis pesawat kalis radar generasi kelima, iaitu F-22 dan F-35 untuk mengebom sasaran musuh.

Malah pemerhati pertahanan juga mengkritik tentera AS kerana masih menunjukkan minat dengan jet pejuang terbaharu, F-15EX buatan Boeing yang tidak mempunyai keupayaan halimunan sambil menyifatkan pesawat sedemikian sudah ketinggalan zaman.

Kelebihan F-15EX berbanding F-22 dan F-35 hanyalah kerana ia boleh membawa lebih banyak bom.

F-35 hanya boleh membawa bom seberat 2,700 kilogram (kg) berbanding F-15EX sebanyak 14,000 kg. Apa guna mampu membawa bom yang banyak jika mudah ditembak jatuh?

Selain AS dan China, negara-negara lain yang telah membuktikan keupayaan menghasilkan jet pejuang generasi kelima ialah Rusia dengan Su-57.

Terdapat juga cubaan untuk menghasilkan pesawat generasi kelima yang kalis radar oleh negara-negara lain seperti Sweden, Turki dan India tetapi masih lagi di peringkat ujian.

ABANG SADO, Kuala Kangsar, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya