SAUDARA PENGARANG,
SEJAK dunia dilanda pandemik Covid-19 dan Malaysia juga tidak terkecuali berhadapan ujian tersebut, banyak perubahan drastik terpaksa dilakukan sama ada dalam pentadbiran kerajaan atau syarikat swasta bagi memastikan tanggungjawab memberi perkhidmatan kepada rakyat diteruskan.
Mungkin bagi sesetengah pihak, agak menyukarkan berurusan dengan kerajaan atau swasta melalui konsep temu janji. Maklumlah, ia terpaksa dilakukan demi menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang jangkitan Covid-19. Namun bagi saya, berurusan mengikut tarikh dan masa temu janji jauh lebih mudah serta lancar.
Baru-baru ini, saya ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Kajang mengikut masa dan tarikh yang ditetapkan. Percaya atau tidak, tempoh menunggu dan menyelesaikan urusan kurang dari 30 minit berbanding sebelum ini dengan konsep jumpa terus (walk in).
Malah, cara untuk menetapkan temu janji juga mudah dengan tidak mengambil lama, hanya sekitar lima minit dan anda akan menerima notis peringatan melalui emel sebelum tarikh temu janji. Jadi, mustahil untuk anda terlepas urusan penting dan sekiranya mahu menukar atau membatalkan temu janji juga boleh dilakukan dengan mudah melalui emel.
Jika dahulu, tempoh menunggu sahaja kadang-kadang mengambil masa hampir dua jam. Pelanggan hanya membuang masa sementara menunggu nombor dipanggil sehingga ada yang tertidur. Justeru, konsep temu janji ini perlu diteruskan serta diperluaskan walaupun Malaysia dalam fasa pasca pandemik bagi mengelakkan kesesakan di dalam premis.
Dan ia juga boleh diteruskan sekirannya pandemik berakhir dengan memberi pilihan dan keutamaan kepada pelanggan dengan temu janji berbanding jumpa terus.
Perubahan yang baik dalam sistem perkhidmatan perlu dilakukan agar tidak menyukarkan pelanggan serta memberi tekanan kepada pekerja yang perlu menerima jumlah pelanggan ramai saban hari.
Selain itu, pelbagai perkhidmatan KWSP boleh dilakukan secara dalam talian dan ia jauh lebih mudah kerana anda tidak perlu berada di premis sekali gus menjauhkan diri daripada jangkitan virus.
ADIYAT, Cheras, Selangor