MENIMANG cahaya mata pasti merupakan impian bagi setiap pasangan suami isteri agar menjadi penyeri kehidupan berumah tangga. Malah, terdapat pasangan yang memiliki kecenderungan dalam memilih jantina bayi atas pertimbangan beberapa faktor seperti budaya, agama dan kesihatan. Perkara ini sebenarnya tidak mustahil untuk direalisasikan kerana seiring pembangunan teknologi yang begitu pesat.
Teknologi bantuan reproduktif iaitu Pra Implantasi Diagnosis Genetik (PGD) mempunyai keupayaan bagi membolehkan embrio disaring untuk mengesan sebarang elemen kerosakan pada genetik. Ia juga melibatkan proses ujian genetik yang dijalankan ke atas gen dan kromosom embrio dan dihasilkan melalui teknik persenyawaan in vitro (IVF).
Meskipun teknik perubatan ini dilihat sebagai keajaiban, ia juga menjurus kepada kemunculan beberapa isu dan kontroversi. Pandangan umum menzahirkan kebimbangan terhadap teknik perubatan ini kerana mampu mewujudkan ketidakseimbangan jantina dalam sesebuah komuniti masyarakat dan bakal merangsang stigma diskriminasi terhadap jantina yang kurang dipilih oleh pasangan berkahwin.
Teknik perubatan PGD ini sering kali dikaitkan dengan isu yang bakal timbul dari aspek agama. Adakah keputusan memilih jantina bayi dibenarkan dari kaca mata agama? Sekiranya sesebuah agama tersebut melihat perkara ini sebagai tidak bermoral, maka keputusan dalam memilih jantina bayi perlulah dielakkan. Topik moraliti ini sering kali dihubungkan dengan teori undang-undang semula jadi.
Thomas Aquinas, pengasas bagi aliran pemikiran naturalisme berpandangan, parameter yang perlu digunakan dalam mewujudkan sebuah undang-undang adalah asas kebaikan yang diwahyukan oleh Tuhan dan tidak melibatkan campur tangan kerajaan atau ciptaan manusia.
Ini bermakna, sebarang perkara yang ditetapkan oleh Tuhan termasuk keizinan dan larangan-Nya, maka itulah yang bakal menerajui pembentukan undang-undang lantas mempengaruhi sesebuah komuniti.
Tetapi sekiranya pengunaan teknik perubatan ini digunakan atas sebab-sebab munasabah dan rasional seperti faktor kesihatan serius atau untuk mengurangkan risiko penyakit genetik, maka pemilihan jantina bayi menerusi teknik perubatan ini adalah dibenarkan dan tidak menyimpan daripada elemen moraliti.
Situasi di Malaysia seakan-akan memihak kepada pegangan teori naturalisme. Ini kerana masyarakat Melayu amat menitikberatkan pegangan agama Islam dalam kehidupan seharian. Teknik perubatan PGD diharamkan kerana tindakan ini dikira sebagai mencampuri urusan Allah SWT dan tidak menerima takdir.
Tetapi, teknik perubatan ini diharuskan sekiranya ia mampu mengurangkan risiko genetik serius yang boleh membawa kepada kematian. Maka, teori naturalisme yang mengangkat ajaran dan ketentuan Tuhan sebagai suatu prinsip kebaikan dan moraliti penting dalam membentuk sebuah undang-undang telah diaplikasikan di Malaysia dalam isu berhubung penggunaan teknik perubatan ini.
Perdebatan berkenaan isu teknik perubatan PGD akan kekal berterusan kerana telah wujud garisan tipis di antara keinginan dan keperluan ibu bapa dalam menentukan jantina bagi zuriat mereka.
Pakar perubatan mengesyorkan penggunaan teknik perubatan ini sebagai sebuah alternatif dalam mengurangkan risiko penyakit genetik dan perkara ini juga adalah selari dengan prinsip moraliti di dalam teori undang-undang semula jadi.
FARAH NURSABRINA AHAMAD KAMAL & PROF. MADYA DR. SHAHRUL MIZAN ISMAIL, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia