SAUDARA PENGARANG,
KES kematian Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu, sampai ke noktahnya apabila enam bekas pelajar universiti berkenaan dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun.
Semua pihak perlulah mengambil iktibar terhadap kejadian buli melibatkan pelajar, tidak kira di peringkat rendah atau institusi pengajian tinggi (IPT). Ini kerana budaya buli boleh membawa kepada kematian walaupun pada mulanya untuk suka-suka. Siapakah yang patut dipersalahkan? Adakah budaya ini masih berselindung di sebalik acara suai kenal terutama di IPT?
Bagi saya, aktiviti suai kenal akan menjadi medan membuli jika pelaksanaannya tidak dirancang dan dipantau dengan baik termasuk elakkan perlakuan fizikal yang melampau dan sebarang perbuatan mengejek serta menghina seseorang. Perbuatan ini boleh mendatangkan kemarahan, menjatuhkan maruah dan dendam.
Tidak hairanlah penuntut senior akan berdendam dan membuli junior kerana mereka telah dibuli sebelum itu. Pihak pentadbir dan kakitangan hendaklah bijak dalam menangani sebarang kes salah laku pelajar terutama membabitkan kes buli. Jangan sembunyikan dan cuba untuk selesaikannya secepat mungkin sebelum menjadi besar.
Pentadbir juga perlulah peka terhadap sebarang situasi luar biasa. Jangan beri peluang kepada penuntut untuk mengadili sendiri kes salah laku seperti kecurian dan sebagainya. Pihak pentadbir boleh melakukan penyiasatan terlebih dahulu dan menghubungi pihak berkuasa untuk menyelesaikan sebarang pelanggaran disiplin jika perlu.
Di samping itu, pihak pentadbir perlulah mengambil peluang ketika kemasukkan pelajar baharu dengan menitipkan hal-hal berkaitan moral dan sosial terutama berhubung dengan budaya buli. Berikan penekanan bahawa pembuli akan dikenakan tindakan tegas termasuk disingkirkan daripada meneruskan pengajaran.
Program suai kenal perlulah diisi untuk merapatkan persaudaraan dan saling menyayangi antara satu sama lain, bukannya masa untuk menunjukkan keegoan dan kesombongan kepada penuntut baharu.
Pentadbir hendaklah juga melihat sebarang kes salah laku walaupun kecil dan terpencil kerana ia boleh menjadi medan buli. Selain itu, amalkan sikap ambil tahu, masuk campur dalam pergaulan penuntut tidak kira kanak-kanak ataupun dewasa. Elakkan lepas tangan dan biarkan penuntut menyelesaikan sesuatu masalah mereka sendiri terutama penuntut dewasa yang lebih bijak membuli dan tindakan mereka boleh mendatangkan kecederaan dan kematian seperti kes melibatkan Zulfarhan.
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang