Siapa lebih berkuasa sebenarnya? - Utusan Malaysia

Siapa lebih berkuasa sebenarnya?

ISU minuman keras jenama Timah memperlihatkan kerajaan masih berlembut dalam memperjuangkan hak Islam dan orang Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIDAK mengejutkan dan memang sudah dijangka, jenama wiski, Timah kekal selepas Kabinet bersetuju membenarkan syarikat pengeluar minuman keras itu menggunakan nama tersebut walhal pelbagai pihak menentangnya kerana menghina bangsa Melayu dan agama Islam.

Sungguhpun begitu, pengeluar minuman keras itu perlu menyertakan label tambahan yang menerangkan maksud disebalik nama Timah pada botol wiski itu.

Saya tidak mahu memanaskan isu ini tetapi perlu bersuara atas hak dan kedaulatan agama dan bangsa Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya tidak faham mengapa pengeluar wiski ini sukar untuk membatal dan menukar jenama Timah kepada nama lain?

Adakah undang- undang di negara ini amat  lemah dan sukar untuk menegakkan peraturan terutama berkaitan bangsa dan agama Islam? Dalam situasi ini, siapa lebih berkuasa, kerajaan atau pengilang?

Kita patut malu dengan keadaan ini  kerana Islam adalah agama rasmi dan orang Melayu adalah kaum majoriti. Sudah terhakiskah kuasa badan yang menegakkan Islam di negara ini dalam menangani isu yang dianggap mudah untuk diselesaikan tetapi gagal dan mengikut sahaja kehendak pihak yang memandang keuntungan?

Di manakah maruah kita sebagai rakyat yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan?Jika dilihat penggunaan nama Melayu dan imej Islam dalam produk makanan yang dijual di pasar raya di seluruh negara, boleh dikatakan telah lama beroperasi dan tiada tindakan diambil malah berjaya pula memanipulasi pembeli.

Maka, amat wajarlah disertakan juga label tambahan ke atas produk yang menggunakan nama Melayu sebagaimana  diarahkan kepada pengeluar wiski jenama Timah untuk menjelaskan produk itu bukan keluaran bumiputera, tidak halal dan mengguna pakai nama dan imej Islam. 

Jika  kerajaan tidak bertegas, lambat- laun akan ada lagi cubaan pihak tertentu untuk mencabar hak dan kedaulatan bangsa dan agama Islam .

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya