Siap sedia untuk dihukum - Utusan Malaysia

Siap sedia untuk dihukum

PERASAAN simpati tidak akan dapat mencegah daripada berleluasanya kes dadah di Malaysia. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, hangat perbincangan dalam media sosial apabila seorang ibu tunggal berusia 55 tahun dan mempunyai sembilan anak dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh Hakim Mahkamah Tinggi Tawau kerana kesalahan memiliki dan mengedar dadah.

Hukuman dijatuhkan selepas hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh yang juga penjual ikan didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 113.9 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau pada 2018.

Keputusan itu mengundang ketidakpuasan hati masyarakat kerana mereka berpendapat, hukuman tersebut adalah keterlaluan untuk dijatuhkan kepada seorang ibu tunggal yang berusia.

Ahli falsafah undang-undang, John Austin yang juga pengasas aliran pemikiran positivisme berpendapat, setiap perintah dikeluarkan oleh pihak berautoriti perlu dipatuhi oleh masyarakat dan kegagalan mematuhinya membenarkan hukuman setimpal dikenakan ke atas mereka.

Beliau juga berpendapat, hukuman sememangnya harus bersifat memberi ancaman bahaya agar masyarakat dapat ditanam dengan perasaan takut demi mematuhi undang-undang.

Hukuman dijatuhkan hakim dalam kes ini menunjukkan sistem perundangan Malaysia mengaplikasikan teori positivisme.

Tindakan hakim berkenaan menjatuhkan hukuman mati mandatori adalah selaras dengan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Sememangnya tidak dapat disangkal, masyarakat akan dibelenggu rasa simpati mengenang nasib ibu kepada sembilan anak bakal mengakhiri riwayatnya di tali gantung.

Namun, sekiranya bukan hukuman mati mandatori yang dikenakan, maka penggubalan peruntukan undang-undang demi mencegah kesalahan jenayah dadah adalah sia-sia.

Tidak dapat dina­fikan, situasi dan nasib ibu tunggal berkenaan akan berbeza sekiranya sistem perundangan Malaysia mengaplikasikan teori naturalisme yang menitikberatkan elemen moraliti dalam menetapkan sesuatu undang-undang.

Menurut ahli falsafah, John Finnis, undang-undang yang dikenakan dikatakan adil dan mencakupi secara keseluruhan jika ia dibuat setelah meneliti punca perbuatan seseorang.

Tetapi jika dibuat perbandingan antara teori naturalisme dengan keputusan mahkamah dalam kes ini, jelas sekali hakim tidak menilai hukuman yang dikenakan itu sebagai adil hanya dengan melihat kepada punca perbuatan tersebut dilakukan.

Namun, prinsip adil yang dipraktikkan oleh hakim dalam kes ini menjurus kepada kesamarataan dalam menjatuhkan hukuman bagi setiap pesalah dadah tidak mengira usia dan kondisi hidup.

Walaupun kita menginginkan ibu tersebut mendapat hukuman lebih ringan dengan mengambil kira usia dan beban hidup dipikulnya, namun saya juga percaya perasaan simpati tidak akan dapat mencegah berleluasanya kes dadah di negara ini.

Oleh hal demikian, keputusan hakim dalam kes ini adalah sangat tepat kerana ia membuka mata ramai pihak bahawa undang-undang itu wujud untuk kita patuhi.

Jika kita gagal mematuhinya, maka bersiap sedialah untuk dikenakan hukuman seperti ditetapkan.

NURIN FATEHAH HUSSEIN & PROF. MADYA DR. SHAHRUL MIZAN ISMAIL, Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya