SAUDARA PENGARANG,
SUDAH lulus maka hendak melantai. Ini bukan peribahasa baharu, ia hanya jarang didengar. Maksudnya serupa dengan sudah terantuk baru tengadah. Isu pak belang juga bukan baharu, hanya selalu dilupakan.
Isu hangat yang dibangkitkan dalam Parlimen baru-baru ini mengenai jumlah Harimau Malaya yang kini kurang daripada 200 ekor di Malaysia merupakan satu amaran bahawa kucing besar ini akan mengalami kepupusan dalam tempoh yang dijangkakan antara lima, 10 tahun lagi.
Isu ini perlu dipandang serius dan memerlukan sokongan banyak pihak bagi membantu pengurusan zoo tempatan dan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Apa yang perlu diwujudkan ialah sebuah pelan tindakan strategik yang holistik, melibatkan kerjasama antara pakar penyelidik dari universiti tempatan dan luar negara serta usahasama dengan pengurusan zoo di peringkat antarabangsa. Ini bagi memastikan kelangsungan Harimau Malaya dalam populasi habitatnya terus meningkat.
Di samping itu, perlu juga meneroka inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan kadar pembiakan Harimau Malaya, sama ada secara semula jadi atau buatan dalam semua program pemuliharaan.
Penglibatan perbincangan pelbagai pihak dan organisasi, seperti Jabatan Perhutanan, Perhilitan, pusat penyelidikan, universiti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam, pemaju, penyelidik antarabangsa, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) serta ahli politik adalah penting demi merealisasikan tindakan strategik Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun dari sekarang.
NGO, pelajar universiti dan orang awam merupakan kumpulan penting yang boleh menjadi mata-mata kepada kerajaan bagi melaporkan sebarang tindakan mencurigakan seperti pemburuan haram, perdagangan haiwan liar serta pembalakan haram bagi memastikan populasi khazanah negara ini kekal berpanjangan. Tentunya kita tidak mahu berita hilangnya khazanah negara seperti badak sumbu Sumatera berulang kembali, bukan?
Maka marilah kita melantai seboleh mungkin, sebelum isu ini ‘lulus’ atau pak belang benar-benar hilang di hadapan mata kita.
HASMAHZAITI OMAR, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya