Sekolah tuntut lebihan gaji selepas 6 tahun - Utusan Malaysia

Sekolah tuntut lebihan gaji selepas 6 tahun

KIBAT kesalahan pihak sekolah, seorang guru terpaksa menanggung tuntutan berjumlah RM11,892 ketika menjalani rawatan dialisis peritoneal dari 2014 hingga 2015. -GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM kesibukan menguruskan kes orang kampung berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru didaftarkan, tiba-tiba isteri saya menghulurkan satu set dokumen Tuntutan Bayaran Lebihan Gaji dan Elaun (LBGE) dari 2014 hingga 2015 berjumlah RM11,892. 

Isteri saya merupakan bekas guru di sebuah sekolah di Selangor yang menghidap sakit buah pinggang serta menerima rawatan hemodialisis. Pada tahun tersebut, keadaan kesihatannya tidak stabil dan semakin merosot. Ketika itu, dia dalam rawatan dialisis peritoneal, iaitu memasuk dan membuang air melalui tiub di perut. Dalam tahun sama juga dia masih bekerja.

Semasa mengandungkan anak tunggal pada 2008, dia terpaksa tinggal di Hospital Universiti Kuala Lumpur (HUKM) dari bulan pertama mengandung sehingga melahirkan anak pramatang dalam usia lapan bulan. 

Berdasarkan dokumen diterima, pihak sekolah memaklumkan terdapat kesilapan pembayaran gaji dan emolumen sepanjang dua tahun itu. Peliknya, tidakkah pihak sekolah atau guru besar menyedari kesilapan tersebut dan membuat tuntutan bayaran balik pada 2016? Mengapa baru sekarang?

Mengapa kami yang perlu menanggung kecuaian daripada pihak lain, sedangkan bukan kami yang meyediakan gaji? Kami hanya menerima pendapatan berdasarkan pengiraan pihak sekolah.

Bagi saya, pihak yang salah perlu bertanggungjawab dan dikenakan surcaj atas kecuaian mereka. Mereka yang perlu membayar nilai kesalahan sebanyak RM11,900. 

Malangnya kami diberi tempoh satu bulan daripada guru besar di sekolah terkini tempat isteri mengajar di Perak untuk menyelesaikan tuntutan ini dan sudah pastinya ia tidak adil. Jika mahu kami ganti semula pun, berilah tempoh yang panjang seperti enam tahun, iaitu sama seperti kesalahan yang dilakukan oleh pihak sekolah.

Pun begitu, saya difahamkan setiap hal berkaitan tuntutan mempunyai had masa seperti yang terkandung dalam Akta Limitasi. Ini bermakna tempoh tuntutan daripada pihak sekolah sudah berakhir. 

Ekoran masalah ini, saya sangat mengharap dan memerlukan bantuan nasihat berguna daripada pakar yang boleh membantu menyelesaikan isu ini. Sekiranya ada yang sudi membantu, boleh salurkan idea kepada saya di [email protected].

​​MOHD. ZAKI AB. LATIF, Kampung Gajah, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya