SAUDARA PENGARANG,
MELALUI Bajet 2022, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar, iaitu RM52.6 bilion manakala Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan RM14.5 bilion.
Antara bidang yang perlu diberi peruntukan utama daripada bajet terbabit adalah bagi menambah baik sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) untuk pelajar sekolah dan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian di universiti.
Walaupun terdapat beberapa kelemahan terhadap proses PdPR dan PdP ketika pandemik Covid-19, ia boleh diperkukuhkan lagi untuk dilaksanakan secara fleksibel dan sebagai pelengkap kepada sesi bersemuka.
Terdapat banyak kebaikan proses PdPR dan PdP dalam talian ini termasuk pelajar dan mahasiswa dapat mengurangkan pergerakan pergi dan balik ke sekolah dan universiti.
Dengan kurangnya aktiviti bergerak secara fizikal ini apabila sebahagian dijalankan secara PdPR dan PdP dalam talian, ia dapat mengurangkan keletihan dari segi fizikal.
Ibu bapa ataupun penjaga juga tidak perlu risau terhadap tahap keselamatan dan kesihatan diri anak-anak mereka yang perlu bergerak ke sekolah ataupun ke kampus setiap hari.
Para pelajar juga dapat jimat wang saku kerana tidak perlu berbelanja bagi bergerak ke sekolah atau ke kampus serta membeli sarapan di kantin ataupun kedai makan.
Proses PdPR dan PdP dalam talian dapat mengurangkan penggunaan kertas kerana segala tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah dapat dilaksanakan melalui alam maya.
Pada masa sama, pelajar dapat didedahkan dengan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi terkini yang boleh mengasah bakat dan kemahiran mereka untuk menghadapi dunia moden.
Memandangkan banyak manfaat yang dapat diperoleh melalui pelaksanaan proses pembelajaran secara maya, amat menyedihkan sekiranya proses PdPR dan PdP dalam talian tidak dapat diperkukuhkan dan dibiarkan begitu sahaja.
Selain itu, sudah sampai masa kerajaan mengubah kaedah penyaluran peruntukan kewangan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang kini diberikan kepada universiti yang sudah lama bertapak dalam negara kita, mempunyai ranking dan prestasi terbaik , walaupun sudah mempunyai dana kewangan besar.
Perlu kaedah baharu dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan kewangan kepada universiti yang baharu bertapak kurang dari 35 tahun serta tidak memiliki ranking atau yang belum mencapai prestasi baik.
Sebagai sebuah universiti yang baharu bertapak, sudah pasti mereka tidak memiliki peruntukan dana yang mencukupi bagi menampung proses kajian dan penyelidikan (R&D) yang merupakan syarat penting untuk menjadi sebuah universiti terbaik di peringkat serantau atau antarabangsa.
Sebagai sebuah universiti baharu, ia tidak memiliki segala kemudahan asas atau logistik untuk proses pengajaran dan pembelajaran serta tidak mempunyai bilangan tenaga pakar atau profesor mencukupi.
Ini amat berbeza dengan universiti-universiti yang telah lama wujud dalam negara kita yang sudah ditubuhkan lebih lama yang tidak menghadapi masalah yang saya sebutkan.
Langkah ini akan membolehkan IPT yang baharu bertapak ini dapat berkembang dan mencapai ranking atau prestasi yang boleh dibanggakan sama seperti universiti sudah lama bertapak serta mewujudkan persaingan lebih sihat dan adil.
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).