Sampai bila mahu jadi anak emas? - Utusan Malaysia

Sampai bila mahu jadi anak emas?

Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan diperincikan sebagai maklum balas kepada tuntutan dikemukakan Sekretariat Doktor Hartal Kontrak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK akhir-akhir ini, akhbar hampir setiap hari menyiarkan isu mengenai doktor kontrak. Penyiaran berita sedemikian seolah-olah menggambarkan kepada masyarakat bahawa doktor kontrak adalah satu kumpulan yang teraniaya.

Mereka mendesak kerajaan memberikan taraf perjawatan tetap. Ura-ura mahu mengadakan mogok buat kali kedua adalah jelas satu ugutan kepada kerajaan.

Tiada mana-mana peruntukan yang menyatakan kerajaan wajib memberi taraf perjawatan tetap kepada kakitangan yang berkhidmat secara kontrak.

Doktor kontrak sebenarnya bebas memilih untuk berkhidmat dengan pihak swasta pada bila-bila masa jika mereka mahu.

Tujuan mahu diserapkan ke jawatan tetap dengan segera adalah bagi membolehkan mereka mendapat peluang menyambung pelajaran untuk menjadi seorang pakar, satu keistimewaan yang hanya diberikan kerajaan kepada penjawat awam bertaraf tetap.

Mereka boleh sahaja menyambung pengajian menggunakan pembiayaan sendiri tetapi mereka sendiri mengetahui perbelanjaan pengajian dalam bidang perubatan adalah amat tinggi dan mereka tidak mampu.

Para penjawat tetap di Kementerian Kesihatan sekarang pun, segelintir mereka sebaik sahaja mendapatkan taraf pakar dan tamat tempoh ikatan dengan kerajaan akan meletakkan jawatan dan beralih ke swasta.

Dalam hal ini, pihak swasta akan mendapat keuntungan kerana mereka tidak perlu bersusah payah mengeluarkan perbelanjaan bagi menghasilkan seorang pakar.

Segalanya dilakukan oleh kerajaan untuk mereka! Namun, kerajaan amat bermurah hati dengan golongan ini.

Dalam pembentangan Bajet 2022, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang boleh dimanfaatkan oleh 3,000 doktor kontrak.

Jadi, bagaimana dengan penjawat awam kontrak daripada skim perkhidmatan lain? Adakah kerajaan bersedia untuk memberikan keistimewaan sama? Jawapannya sudah pasti tidak.

Di Kementerian Kesihatan, terdapat lebih 80 skim perkhidmatan yang bekerja sebagai satu pasukan. Namun, dalam banyak hal, doktor juga yang diberikan pelbagai kelebihan.

Contohnya, doktor menikmati kenaikan pangkat secara time-based dan boleh kekal melakukan kerja sama walaupun mencapai gred tinggi.

Berbeza dengan penjawat awam lain yang hanya boleh naik setelah mencapai tahap kompetensi tertentu serta mempunyai kekosongan.

Kenaikan pangkat penjawat awam lain turut membawa kepada penambahan tugasan, tanggungjawab dan sumber yang perlu dijaga.

Cepatnya mendaki tangga kenaikan menyebabkan terjadi lambakan yang besar di gred 54 yang menyebabkan mereka mendesak kerajaan agar pelaksanaan time-based ini dilanjutkan ke gred lebih tinggi.

Hasil kebisingan inilah yang menyebabkan kerajaan mewujudkan gred 56 yang buat masa ini hanya dinikmati oleh pegawai perubatan.

Sudah sampai masanya Kementerian Kesihatan memberikan perhatian sama kepada skim-skim perkhidmatan lain seperti penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai rekod perubatan, juruteknologi makmal perubatan dan pegawai sains.

Ada antara jawatan yang disebutkan ini, orang awam tidak tahu pun kewujudannya. Ketua Pengarah Kesihatan perlu bersikap lebih adil memandangkan beliau adalah ketua kepada kumpulan ini.

Kepada doktor kontrak, berpadalah dengan keistimewaan yang diberikan.

Bagaimana kerajaan harus melayan kemahuan anda sepenuhnya sedangkan kami yang tetap ini pun tidak mendapat layanan sedemikian!

MAJIDAH MUMTAZAH MADIHAH MARDHIYAH MUAYYAD, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya