SAUDARA PENGARANG,
PADA fasa endemik Covid-19 sekarang, kes penyakit itu akan sentiasa ada dalam masyarakat, namun pada kadar rendah dan stabil.
Selepas hampir dua tahun melanda dunia, rantaian kesan yang dicetuskan oleh Covid-19 terhadap sektor lain jauh lebih besar berbanding impak langsung virus itu sendiri terhadap kesihatan.
Bukan sahaja sektor ekonomi terjejas dengan banyak perniagaan ditutup dan ramai pekerja dibuang, aspek sosial turut menerima tempias dengan peningkatan bilangan kes bunuh diri, kemurungan, pelajar keciciran daripada alam persekolahan, anak yang hanyut dengan gajet dan keruntuhan rumah tangga.
Sehubungan itu, kepakaran dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan sangat diperlukan ketika warga dunia masih teraba-raba dalam gelita menghadapi kesan jangka panjang endemik Covid-19.
Timbul pelbagai persoalan sama ada masyarakat akan kembali kepada kehidupan sediakala dan sejauh mana kemampuan masyarakat beradaptasi dengan norma baharu.
Di sinilah relevannya ilmu sains sosial dan kemanusiaan dalam merungkai persoalan tersebut serta menangani pelbagai kesan Covid-19 terhadap kehidupan masyarakat.
Bidang sains sosial merupakan cabang ilmu yang mengkaji perlakuan manusia dalam aspek sosial dan budaya. Bidang ini merangkumi disiplin seperti antropologi, sosiologi, psikologi, sains politik, ekonomi, linguistik, geografi, pengajian pembangunan dan komunikasi.
Peruntukan dana menerusi geran-geran penyelidikan perlu diberikan kepada universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.
Para penyelidik dan ahli akademik jurusan sains sosial dan kemanusiaan juga hendaklah proaktif dalam menjalankan penyelidikan bagi menyelesaikan dan menangani permasalahan kesan Covid-19 ini.
Hal ini amat signifikan kerana bidang sains sosial dan kemanusiaan adalah sama penting dan seiring dengan keperluan dalam bidang sains dan teknologi bagi menghadapi fasa endemik Covid-19.
MUHD. NORIZAM JAMIAN, Pensyarah Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (Bitara Melayu).