Rumah bukan lagi paling selamat - Utusan Malaysia

Rumah bukan lagi paling selamat

PENGGUNAAN elektrik dengan betul dapat mengelakkan daripada menjadi mangsa kemalangan elektrik.-GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA mungkin sudah terbiasa berfikir bahawa rumah adalah tempat yang paling selamat. Namun, ia juga boleh menjadi tempat paling berbahaya sekiranya kita alpa tentang kes salah guna elektrik di rumah.

Banyak kemalangan elektrik yang berlaku disebabkan penggunaan tenaga elektrik yang tidak betul. Kemalangan seperti renjatan elektrik dan  kebakaran boleh menyebabkan kemalangan serius sehingga boleh membawa kepada kematian. 

Walaupun tenaga elektrik merupakan keperluan asas dalam kehidupan, namun acap kali kita mendengar kes kebakaran atau kematian disebabkan sumber tenaga itu sama ada disebabkan kelalaian diri sendiri atau pihak lain.

Kebanyakan kemalangan yang berlaku boleh dielakkan jika langkah keselamatan asas dipatuhi ketika menggunakan tenaga elektrik di rumah. 

Bagi kebakaran yang diakibatkan oleh arus elektrik, pemadam api karbon dioksida haruslah digunakan. 

Bagaimanapun pengguna perlu mengambil tahu sebab-sebab berlakunya kemalangan elektrik supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan sumber tenaga itu.

Antara sebab-sebab berlaku kemalangan elektrik adalah  

menyentuh dawai hidup yang terdedah, menyentuh suis dengan tangan basah, memasukkan konduktor tajam ke dalam soket, penebat kabel koyak dan melebihi beban bagi satu sumber kuasa.

Oleh itu, sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu peka dan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memutuskan litar apabila ada arus berlebihan dialirkan, menggunakan dawai penebat untuk menghalang pengaliran arus dan dawai bumi diletakkan dalam soket untuk membumikan sebarang kebocoran arus.

Bagi memastikan tiada kemalangan elektrik, pastikan elak menyambung terlalu banyak peralatan pada satu soket, baiki peralatan elektrik yang rosak, jangan menarik palam daripada soket dengan talinya dan jangan sentuh peralatan elektrik dengan tangan yang basah.

Diharap langkah-langkah keselamatan ini dapat  membantu orang ramai daripada menjadi mangsa kemalangan elektrik. 

BULBIR SINGH, bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya