SEKALI LAGI kita mendengar kerosakan kereta api kabel atau funikular di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Terlalu kerap berlaku sehingga menyebabkan ramai yang fobia untuk menikmati pemandangan indah dari puncak bukit.
Mengikut sejarah, Bukit Bendera dibuka oleh penjajah untuk menanam strawberi. Oleh kerana sejarahnya itu dan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan, sudah pastinya Bukit Bendera menjadi pilihan pelancong.
Bayangkan perasaan pengunjung terutama anak kecil yang terkandas di dalam funikular untuk tempoh dua hingga tiga jam dengan keadaan penumpang padat? Bukan itu sahaja, persepsi pelancong juga akan berubah negatif kerana mutu perkhidmatan ditawarkan tidak memuaskan selain mengundang bahaya. Bukankah itu boleh menggugat industri pelancongan negara?
Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang menerima ramai pelancong dari dalam dan luar negara saban tahun disebabkan makanan serta sejarah sudah pasti perlu sentiasa menawarkan perkhidmatan berkaitan pelancongan yang baik agar disenangi dan terus menjadi pilihan.
Pun begitu, sekiranya masalah di Bukit Bendera tidak diatasi, kemungkinan untuk pengunjung tidak ke lokasi yang terkenal dengan suhu nyaman itu boleh menyebabkan kerajaan negeri hilang sumber pendapatan.
Nampaknya, kereta api funikular berusia 87 tahun yang sudah dinaik taraf kepada sistem yang baharu dengan kos RM63 juta pada Februari 2010 dengan membina landasan baharu dan menggantikan kereta api lama dengan yang baharu untuk meningkatkan kapasiti penumpang dan kelajuan masih lagi kerap rosak.
Adakah masalah ini berpunca daripada penyelenggaraan tidak sistematik ataupun sebab-sebab lain? Apa jua pun jawapannya, ia perlu ditangani segera. Jika ia terus berlarutan, kerajaan terpaksa berbelanja dengan banyak untuk menanggung kos pembaikan.
Bahkan, dalam keadaan negara yang masih mencatat penularan kes Covid-19 dan kenyataan daripada pakar epidemiologi yang menjangkakan virus itu akan berlarutan setahun lagi sudah pasti membimbangkan pengunjung yang terkandas. Ini kerana dalam situasi itu, orang ramai akan bersesak-sesak dan sukar mengikut prosedur operasi standard (SOP) sekali gus memungkinkan penularan Covid-19.
Oleh itu, kerajaan negeri perlu segera mencari jalan penyelesaian. Janganlah sampai ada kes kehilangan nyawa, baru terkejar-kejar mencari jawapan kepada permasalahan ini. Ketika itu semua sudah terlewat.
ZAHARI KHAMIS, Sintok, Kedah