SAUDARA PENGARANG,
SESI persekolahan secara bersemuka telah bermula. Namun, tindakan sebahagian ibu bapa yang menolak vaksin menghantar anak ke sekolah mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan dan kesihatan anak mereka.
Antara kebimbangan utama ialah risiko mendapat jangkitan di sekolah dan risiko penularannya. Umum mengetahui, mereka yang belum menerima vaksin boleh mendapat jangkitan dengan komplikasi teruk. Golongan yang belum lengkap vaksin sekiranya terjangkit, jumlah virus dalam badan juga lebih tinggi. Jadi, risiko penyebaran jangkitan adalah lebih tinggi.
Apabila penularan berlaku, pelajar mungkin hanya mengalami gejala ringan tetapi mereka boleh menjadi pembawa virus dan menjangkiti kaum keluarga (yang tidak layak divaksin) di rumah. Penularan berleluasa di sekolah akan menyebabkan penutupan sekolah yang bukan sahaja mengganggu proses pembelajaran, malah menyukarkan ibu bapa untuk menguruskan anak-anak. Ibu bapa yang kebanyakannya mula bekerja perlu mengambil cuti kerana menjadi kontak rapat. Keadaan ini juga menjejaskan sumber pendapatan sesebuah keluarga.
Buat masa ini, mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan, belum lagi diwajibkan bagi pelajar untuk mengambil vaksin dan tiada halangan untuk memasuki kawasan sekolah bagi mereka yang belum menerima vaksin walaupun layak berbuat demikian.
Isunya bukan hanya risiko kepada kesihatan, malah meliputi dimensi yang luas lagi. Ini termasuk isu stigma pelajar lain dan mereka di sekolah terhadap anak tersebut. Mungkin mereka akan dipulau dan dijauhi menyebabkan gangguan emosi dan menjejaskan pelajaran.
Usaha untuk memberikan pendidikan kesihatan dan promosi vaksin bagi meningkatkan kadar pengambilan pelali Covid-19 bukan hanya terletak pada bahu Kementerian Kesihatan. Kementerian Pendidikan juga turut berusaha dan ini harus diteruskan dan dipertingkatkan. Selain itu, kami juga menyokong penubuhan suruhanjaya khas yang boleh memainkan peranan penting dalam mempertahankan hak kanak-kanak bagi dilindungi daripada penyakit berjangkit termasuk Covid-19.
Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam membantu meningkatkan pemahaman dalam kalangan ibu bapa amat penting dan diperlukan. Kebimbangan ibu bapa bukan hanya bersandarkan kepada fakta sains semata-mata tetapi soal kesihatan dan masa hadapan anak-anak menjadi taruhan. Ramai ibu bapa beremosi mempertahankan anak masing-masing. Ingin saya tegaskan di sini, kanak-kanak adalah golongan yang perlu kita lindungi dan berhak mendapat capaian kesihatan yang baik.
Di sinilah peranan PIBG dalam membantu pihak sekolah meningkatkan kadar vaksinasi dengan mengadakan sesi perkongsian daripada ibu bapa yang menceritakan pengalaman anak mereka disuntik vaksin dan sebab-sebab mereka memberikan vaksin dihuraikan. Sudah pasti ramai lagi ibu bapa akan memberikan persetujuan.
PROF. MADYA DR. MOHD.DZULKHAIRI MOHD RANI & PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia