SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin membuat sedikit teguran kepada penghantar makanan di negara ini untuk kebaikan mereka sendiri.
Boleh dikatakan kebanyakan penghantar makanan itu, baik lelaki atau perempuan, menunggang motosikal terlalu laju.
Mungkin mereka berbuat demikian supaya makanan yang ditempah cepat sampai kepada pelanggan dan selepas itu dapat mengambil tempahan pelanggan lain pula.
Niat itu memang baik. Namun, kita juga perlu ingat keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. Bagi saya, buat apa terlalu bergegas di jalanan kalau keselamatan tidak terjamin?
Satu lagi adalah dari aspek kebersihan. Apa yang saya lihat, kebanyakan beg mengisi makanan yang diletakkan di bahagian belakang motosikal agak lusuh dan ada tanda-tanda kurang bersih. Justeru, rajin-rajinlah membersihkan beg berkenaan.
Begitu juga dengan pakaian para penghantar makanan terbabit seolah-olah jarang dibasuh.
Di sini ingin saya cadangkan biarlah setiap penghantar makanan itu mempunyai sekurang-kurangnya tiga pasang pakaian.
Apabila selesai kerja, pulang ke rumah, terus masuk ke dalam mesin basuh dan bersihkan.
Untuk kerja keesokan hari, pakailah pakaian yang lain. Dengan cara ini, barulah menampakkan pakaian mereka sentiasa bersih.
Dan nasihat terakhir yang ingin saya berikan ialah setiap penghantar makanan yang menghantar makanan ke rumah pelanggan Islam, pastikan mereka tidak menghantar makanan pada waktu maghrib.
Adalah tidak sesuai semasa seseorang sedang solat maghrib, ada bunyi loceng pintu rumah yang dibunyikan oleh penghantar makanan.
Sebelum mengakhiri nukilan ini, saya memohon maaf kepada para penghantar makanan di negara ini jika apa yang saya tulis ini menyinggung perasaan anda.
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis.