Pelik penjawat awam mahu menganggur - Utusan Malaysia

Pelik penjawat awam mahu menganggur

KEBANYAKAN penjawat awam menjalankan tugas harian berurusan dengan orang ramai dalam pelbagai kategori dan usia. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SIKAP kira-kira 28,000 kakitangan awam yang enggan disuntik vaksin Covid-19 adalah sesuatu yang amat dikesali dan mendukacitakan.

Pendirian tersebut tidak seharusnya wujud dalam kalangan anggota perkhidmatan awam yang berpendidikan sedangkan penduduk kampung tidak berpelajaran tinggi secara sukarela sedia divaksin.

Penjawat awam harus sedar, kebanyakan mereka menjalankan tugas harian berurusan dengan orang ramai dalam pelbagai kategori dan usia.

Cuba bayangkan apa terjadi jika pelanggan mereka dalam kalangan warga emas atau kanak-kanak yang tidak mempunyai daya tahan kuat untuk melawan virus Covid-19?

Semasa bercakap di Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, semua kakitangan awam terbabit sudah diberikan surat tunjuk sebab sebagai salah satu proses sebelum tindakan selanjutnya dikenakan ke atas mereka.

Ada banyak jenis tindakan yang boleh diambil oleh satu jawatankuasa siasatan dalaman yang dibentuk oleh setiap jabatan seperti amaran dan tahan gaji.

Dalam hal ini, tidak mustahil jika sudah terlalu degil dan tidak mematuhi surat pekeliling, kakitangan terbabit boleh ditamatkan perkhidmatan.

Sekiranya perkara tersebut berlaku, bermakna mereka akan hilang pekerjaan sekali gus membawa maksud hilang sumber pendapatan.

Dengan suasana kehidupan semakin terdesak sekarang, janganlah sengaja membiarkan diri kita menjadi penganggur.

Kasihani anak-anak yang memerlukan wang belanja persekolahan dan isteri pula meminta wang keperluan untuk menyediakan makan minum keluarga.

Jika sesuatu terjadi kepada seseorang kakitangan awam, jangan pula menuduh kerajaan zalim, sedangkan apa yang terjadi adalah disebabkan kesilapan sendiri.

RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya