Mana cukup RM350, sepatutnya RM500 - Utusan Malaysia

Mana cukup RM350, sepatutnya RM500

INISIATIF bantuan am oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang lebih adil pasti meringankan bebanan golongan memerlukan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,  

SAYA terpanggil untuk memberikan sedikit pendapat terhadap inisiatif bantuan am persekutuan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada keluarga tidak berkemampuan, iaitu dengan julat antara RM100 hingga RM350 sebulan. 

Bantuan ini diberikan kepada individu atau keluarga kurang berkemampuan serta berkeperluan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

Antara syarat-syarat kelayakan untuk menerima bantuan ini mestilah merupakan warganegara dan bermastautin di Wilayah Persekutuan, selain jumlah pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa. 

Syarat lain pula, pemohon mestilah terdiri daripada golongan memerlukan dan keluarga miskin yang tidak diliputi di bawah mana-mana skim bantuan bulanan JKM lain atau mana-mana kes berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.

Tidak dinafikan inisiatif ini wajar dialu-alukan. Bagaimanapun, terdapat ruang penambahbaikan yang boleh diambil. 

Pada era globalisasi kini, taraf hidup rakyat semakin meningkat ditambah  ekonomi yang semakin meruncing. 

Justeru, saya merasakan kadar bantuan yang diberikan adalah kurang mencukupi khususnya bagi keluarga B40 ke bawah. 

Sejumlah RM350 sebulan bersamaan kira-kira RM10 sehari untuk membeli keperluan makanan bagi keluarga yang mempunyai lebih tiga orang anak adalah amat tidak mencukupi. 

Justeru, saya mencadangkan kadar bantuan ini dinaikkan selari dengan keadaan ekonomi semasa. Ini bagi memastikan tiada siapa pun daripada ahli Keluarga Malaysia hidup dalam keadaan kesempitan dan kekurangan. 

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberikan bantuan yang munasabah kepada golongan memerlukan agar dapat mengeluarkan mereka dari kelompok kemiskinan. 

Jadi, saya mencadangkan jumlah bantuan am dinaikkan kepada satu kadar sahaja, iaitu RM500 sebulan.

TAN SRI LEE LAM THYE, Aktivis Sosial

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya