Mahukah kita jadi seperti Hong Kong? - Utusan Malaysia

Mahukah kita jadi seperti Hong Kong?

KERAJAAN dicadang membina lebih banyak rumah kos rendah di bawah harga RM90,000 di tanah kerajaan bagi memberi lebih banyak pilihan rumah kos rendah kepada rakyat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMAKIN hari semakin banyak pemaju membina perumahan tinggi seperti rumah pangsa dan kodominum. Ini mungkin kerana permintaan terhadap rumah meningkat saban tahun sementara negara makin kekurangan tanah.

Bukan itu sahaja, faktor utama pembinaan rumah tinggi menjadi pilihan utama pemaju disebabkan nilai keuntungan berlipat kali ganda berbanding rumah tanah sedangkan kediaman memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. 

Pun begitu, kecoh tentang sebuah projek pembinaan perumahan 54 tingkat di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang belum direalisasikan disebabkan masalah pemilikan tanah, begitu juga Projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia, Pangsapuri Vista Danau Kota di Setapak yang dibina setinggi  46 tingkat dan sebuah projek perumahan 54 tingkat dengan 3,600 unit rumah di Cheras yang mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Jika dilihat pembinaan rumah-rumah tersebut melibatkan kepadatan tinggi. Ia bukan sahaja menyebabkan masalah tempat letak kereta, trafik dan sebagainya tetapi turut membawa masalah sosial.

Bayangkan kesan terhadap psikologi penduduk terutama kanak-kanak apabila terpaksa tinggal dalam satu kawasan perumahan yang padat dengan penduduk. Mungkin untuk menaiki lif juga mengambil masa yang lama.

Bayangkan pula jika ada masalah seperti air, elektrik, kebakaran atau kematian. Tidakkah sukar penduduk mahu menguruskan keadaan dalam situasi getir sebegitu?

Lebih mengecewakan, cadangan pembinaan perumahan ini turut melibatkan projek-projek perumahan kerajaan. Tidakkah ada seseorang di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melihat sisi buruk projek ini? Malah harga rumah yang dijual juga tidaklah murah. rata-rata RM300,000 ke atas dan ia agak mahal bagi projek perumahan kerajaan yang memiliki ribuan unit.

Satu kajian oleh Kajimo & Evans pada 2006 mendapati perumahan merupakan elemen penting kepada penempatan penduduk dalam memenuhi keperluan asas dan kualiti hidup yang menjadi aset sangat berharga untuk keperluan ekonomi, sosial dan kepentingan peribadi.

Sementara kajian Atchley pada 2004 menerangkan kesejahteraan merujuk kepada perasaan bebas daripada tekanan, gembira dalam jangka masa panjang dan berperasaan positif dengan kehidupan. 

Jadi, adakah KPKT dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yakin dengan pembinaan projek perumahan berkepadatan tinggi sama ada ia projek kerajaan atau swasta dapat memenuhi keperluan seseorang melabur untuk pembelian rumah?

Diharap KPKT dan PBT lebih peka dengan kesan yang bakal menimpa penduduk sekiranya tinggal di perumahan tinggi sedemikian. Adakah kita mahu menjadi seperti Hong Kong?

FAIZAL MOHD. NOR, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya