SAUDARA PENGARANG,
ZAMAN sekarang terdapat dua dunia, iaitu dunia nyata dan dunia siber. Saya pernah diajukan satu soalan yang mempunyai ungkapan ‘medsos’.
Dengan lurus bendul, saya bertanya kepada orang itu: “Pedas tak?” Saya sangka medsos adalah satu jenama sos cili.
Setelah saya cari maklumat, rupa-rupanya medsos adalah gabungan dua perkataan, iaitu media dan sosial.
Aplikasi media sosial ini paling banyak menghuni dalam dunia siber yang ada ‘negara-negara’ seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, TikTok dan banyak lagi.
Itu belum lagi termasuk ‘negara-negara’ yang menyediakan platform permainan, perniagaan, pelaburan, perjudian dan perlombongan mata wang kripto.
Kita tidak memerlukan pasport atau visa untuk melawat ‘negara-negara’ tersebut dan tiada had masa yang ditetapkan untuk berada di sana.
Selagi ada capaian internet dan karan, kita boleh tinggal selama mana yang diinginkan di mana-mana ‘negara’ dalam dunia siber. Sekitar 1990-an pun terdapat dua dunia di Malaysia, iaitu dunia nyata dan Dunia Jam 10 yang tidaklah sehebat dunia siber.
Yang menariknya dalam Dunia Jam 10 ialah kata-kata hikmah diungkapkan oleh penyampai berita, Allahyarham Farit Ismeth Emir sebelum dunia itu ‘ditutup’, membuatkan kita berfikir sejenak dan ada kalanya memberi keinsafan.
Saya ingin menyentuh ketika ramai pulang ke kampung, baru-baru ini. Agak menyedihkan bila tiba di kampung, sikap kita yang gemar mengunjungi ‘negara-negara’ dalam dunia siber masih tidak berubah.
Kita masih lagi meluangkan masa bercuti di kampung untuk bersembang di laman sosial, bermain permainan dalam talian, memuat naik gambar-gambar aktiviti dan memberi komen menggunakan singkatan-singkatan yang tiada hurul vokal.
Bukan sahaja anak-anak, malahan ibu bapa pun sering menatap telefon pintar saban hari sehingga terlupa nawaitu asal mereka balik kampung.
Pada malam pertama bercuti di kampung, mentua gembira melihat muka menantu mereka ‘bercahaya’ pada waktu malam.
Mereka berbisik sesama sendiri: “Bertuah anak kita dapat suami yang mempunyai cahaya keimanan terpancar daripada mukanya.” Walhal, ia adalah pantulan cahaya daripada skrin telefon pintar.
Tiada gunanya kita mengisi borang cuti dengan memberi alasan ingin menziarahi ibu bapa dan meluangkan masa berkualiti bersama-sama mereka jika masih menatap telefon pintar atau komputer riba sepanjang masa berada di kampung.
Sebagai cadangan, sebaik sahaja tiba di kampung, berikan semua telefon pintar, komputer riba dan sebarang peralatan perhubungan kita dan anak-anak kepada pak long dan mak long atau sesiapa sahaja yang dihormati dan dipercayai untuk disimpan sepanjang tempoh percutian.
Hanya kamera digital yang tiada fungsi komunikasi dibenarkan bagi tujuan rakaman foto dan video sebagai kenangan.
Tempoh kita ‘berpuasa’ daripada dunia siber ini secara tidak langsung membolehkan kita menilai tahap ketagihan diri dan anak-anak terhadap dunia siber.
Adakah kita dan anak-anak dapat bertahan selama sehari, dua hari, tiga hari ataupun seminggu tanpa mengunjungi dunia siber?
Sekiranya ketagihan kita dan anak-anak tidak dapat dibendung, wajar untuk berjumpa dengan doktor atau pakar psikologi sekembalinya ke bandar nanti.
N. NASIR, Bangi, Selangor.