SAUDARA PENGARANG,
BUDAYA popular Korea Selatan memang amat berpengaruh di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia dengan sebaran luas filem, siri drama seperti Squid Game dan muzik K-pop.
Namun, pernahkah anda dengar sebuah lagu rakyat Korea Selatan yang cukup popular di seluruh dunia sejak 40 tahun lalu? Lagu tersebut jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu bertajuk Kawad untuk Anda (Yang Tercinta) atau dalam bahasa Inggeris pula ialah March for You.
Antara petikan lirik lagu ini berbunyi lebih kurang begini: Kita akan pergi tanpa meninggalkan cinta, penghormatan dan nama.
Kita berikrar dengan penuh bersemangat untuk terus berjuang, selagi kita masih hidup.
Rakan seperjuangan kita sudah tiada lagi, hanya tinggal panji yang masih berkibar. Janganlah kita berganjak sehingga hari baharu menjelang.
Lagu ini bukan sahaja popular di Korea Selatan dan dimuatkan dalam beberapa filem, malah tersebar luas di rantau Asia dan ditukar ke dalam versi bahasa berlainan.
Walaupun lagu ini pernah diharamkan di Korea Selatan buat beberapa ketika tetapi ia masih tersebar luas secara curi-curi melalui skor muzik yang disalin tangan, dendangan daripada mulut seorang ke telinga orang lain dan salinan kaset.
Ia menjadi lagu yang sering dinyanyikan ketika perhimpunan dalam pelbagai bahasa termasuk Jepun, Mandarin, Kantonis, Thai, Kemboja, Myanmar dan bahasa Melayu.
Lirik lagu itu diambil daripada puisi aktivis gerakan demokrasi, Baek Gi-wan yang ditulis semasa beliau ditahan di dalam Penjara Seodaemun di Seoul.
Muzik untuk lagu ini pula digubah oleh Kim Jong-ryul yang merupakan seorang pelajar Universiti Kebangsaan Chonnam (UKC) pada masa itu.
Lagu yang liriknya penuh indah dan mengharukan ini sudah berusia hampir 40 tahun. Ia dicipta untuk memperingati sepasang kekasih yang sudah meninggal dunia.
Kedua-duanya, Yoon Sang-won dan Park Gi-soon ialah aktivis pelajar yang menuntut di UKC, terletak di bandar Gwangju.
Sang-won terbunuh dalam Pemberontakan Rakyat Gwangju pada 1980 apabila dia ditembak mati oleh pasukan tentera manakala Gi-soon maut kerana kemalangan.
Pemberontakan itu bermula sebagai protes pelajar yang kemudiannya berkembang menjadi bantahan rakyat secara besar-besaran di jalanan bagi menuntut pengunduran pemerintah diktator, Chun Doo-hwan yang kemudiannya menyaksikan 2,000 orang terbunuh.
Sang-won dan Gi-soon juga terpengaruh dengan perjuangan aktivis pekerja, Jeon Tae-il yang baru berusia 22 tahun ketika membakar dirinya pada 1970 untuk memprotes terhadap keadaan yang teruk di dalam kilang-kilang di Korea Selatan.
Pada ketika badannya dijilat api, Tae-il berlari di atas jalan raya di pusat bandar Seoul dan menjerit sebelum maut:
“Kami pekerja bukannya mesin! Kami juga manusia. Jangan mengeksploitasi pekerja, jangan biarkan kematianku sia-sia!”
Lagu terbabit turut dinyanyikan peserta perhimpunan di Seoul pada 2016 untuk membantah pemerintahan Presiden Korea Selatan pada masa itu, Park Geun-hye, yang terlibat dalam skandal korupsi.
Gelombang protes rakyat besar-besaran itu berlarutan sehingga Mac 2017 dengan perhimpunan diadakan setiap minggu di mana jumlah peserta mencecah jutaan orang pada kemuncaknya sehingga akhirnya menjatuhkan pemerintahan Geun-hye.
CHOO CHON KAI, Kuala Lumpur.