SAUDARA PENGARANG,
KOPERASI dilihat sebagai sebuah organisasi yang dimiliki oleh sekumpulan orang.
Sungguhpun keusahawanan boleh terbentuk dengan lebih daripada satu orang melalui rakan kongsi, koperasi masih berbeza dari sudut pendaftaran, perundangan, prinsip dan nilai serta matlamat asas penubuhannya.
Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) di Kongres Manchester pada 1995 menyatakan, identiti koperasi adalah sebuah persatuan manusia yang berautonomi, bergabung secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan aspirasi bersama dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya melalui pertubuhan dimiliki bersama dan dikawal secara demokratik.
Memandangkan koperasi melibatkan ramai orang, maka amat penting bagi koperasi mempunyai struktur jelas, pemilihan anggota lembaga yang berwibawa dan berdedikasi, tadbir urus berkesan serta sistem pengurusan efisien mengikut perundangan dan garis panduan ditetapkan.
Ini bagi memastikan koperasi ditadbir dengan melindungi hak semua pihak terutama anggota terlibat dalam menjayakan perniagaan koperasi.
Namun, banyak pihak tidak menghayati aspirasi penubuhan koperasi. Apa yang dicari oleh mereka adalah kepentingan peribadi dan manfaat ekonomi semata-mata.
Hakikatnya, koperasi bukan tempat untuk menjadi kaya. Koperasi juga bukan medan untuk berpolitik. Akibat jati diri berkoperasi yang lemah ini, banyak kes salah laku dilaporkan. Ini menjejaskan imej murni nilai berkoperasi.
Justeru, dengan keadaan sebegini tidak mungkin koperasi dapat mencapai matlamat peningkatan sosioekonomi berkoperasi.
Keperluan sosial berkoperasi boleh dilihat dari pelbagai sudut termasuklah mencakupi fitrah manusia yang perlu hidup berkumpulan, elemen psikologi, budaya dan kesejahteraan hidup.
Seharusnya kita mencontohi banyak koperasi yang telah terbukti menjadi satu model perniagaan yang baik apabila terdapat keadaan di mana bentuk perniagaan lain tidak dapat dilakukan.
Koperasi perlu kekal relevan sebagai pendorong utama dalam memupuk kemakmuran dan kesejahteraan pembangunan masyarakat setempat.
HASLINDA SUJAK, Institut Koperasi Malaysia Zon Timur.