SAUDARA PENGARANG,
PERJUANGAN berdasarkan konsep Keluarga Malaysia adalah satu wadah yang wajar disokong oleh semua pihak dari setiap lapisan masyarakat kerana ia mendukung semangat yang tinggi.
Konsep Keluarga Malaysia menggariskan tiga teras utama merangkumi keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dan 20 pengkayaan nilai yang mendasari kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk bekerja secara bersama dalam memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik Covid-19.
Ismail Sabri berkata, konsep yang diperkenalkan bukan sesuatu yang sukar dihadam kerana ia berlandaskan nilai sedia ada yang dimiliki dalam setiap keluarga, selain nilai setiap Keluarga Malaysia juga disifatkan sebagai komponen penting demi menentukan jatuh atau bangun negara ini.
Malah, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena istiadat mengucap selamat berangkat pada 25 Oktober lalu bahawa konsep keluarga terkandung dalam ajaran Islam, selaras dengan ayat al-Quran bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudara mu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujurat 49:10).
Baginda bertitah, amat penting diberikan keyakinan setiap warga ada tempat dalam keluarga besar ini, amalkan budaya terbuka, bersedia menerima kelainan pandangan, begitu juga menghargai perbezaan pendekatan dan perbezaan kaedah agar tercapai nanti secara konsensus pendapat, pandangan, pendekatan dan kaedah terbaik untuk manfaat negara dan warga.
Marilah kita sama-sama berdoa dan menadah dua belah tangan bagi memohon restu daripada Allah SWT agar konsep Keluarga Malaysia berjaya menyatukan rakyat.
BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor.