Kita patut malu dengan Singapura - Utusan Malaysia

Kita patut malu dengan Singapura

MALAYSIA patut mencontohi Singapura dalam perketatkan undang-undang mengenai pengambilan dan jualan minuman keras. GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

MALAYSIA sebagai sebuah negara Islam yang majoriti penduduknya menganut agama tersebut sepatutnya malu dengan tindakan proaktif dan realistik Singapura yang memperkenalkan undang-undang baharu larangan pengambilan alkohol di tempat awam selepas 10.30 malam hingga 7.00 pagi.

Lebih daripada itu, Singapura juga mewartakan dua zon larangan arak di Little India dan Geylang pada hujung minggu dan cuti am. Republik itu juga mengenakan hukuman sebanyak SGD1,000 (RM3,081) bagi kesalahan menjual dan meminum arak dalam waktu larangan di tempat awam manakala bagi kesalahan berulang dikenakan denda SGD2,000 (RM6,162) dan boleh dipenjarakan sehingga tiga bulan. Bagi penjualan alkohol di luar waktu dagangan yang ditetapkan dalam lesen, mereka boleh dikenakan denda sehingga SGD10,000 (RM30,810).

Malangnya Malaysia yang mempunyai 56.4 peratus rakyat berbangsa Melayu dan 61.3 peratus beragama Islam disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya pada 2011 sebagai negara pengguna alkohol yang ke-10 terbesar di dunia walaupun saiz dan populasi penduduknya kecil berbanding negara-negara lain.

Statistik oleh sebuah badan antarabangsa juga mendapati rakyat Malaysia berbelanja lebih daripada USD500 juta (RM1.5 bilion) setiap tahun untuk alkohol dengan pengambilan per kapita sebanyak tujuh liter.

Walaupun angka ini adalah rendah berbanding negara-negara Barat, namun ia adalah tinggi bagi negara-negara Asia.

Penggunaan arak di Malaysia pula ialah sebanyak 11 liter per kapita. Angka ini dikira sebagai tinggi dan dikatakan hampir sama dengan negara-negara Eropah dan ia seharusnya dipandang serius oleh kerajaan.

Sekiranya Singapura yang hanya mempunyai 14 peratus rakyat berbangsa Melayu dan 14.9 peratus beragama Islam boleh meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang seumpama ini, Malaysia sepatutnya boleh dan perlu melakukan lebih daripada itu.

Tanggungjawab ini juga wajib dilaksanakan selaras dengan roh syariat Islam yang mengharamkan arak. Sekiranya penjualan dan pengambilan arak berjaya dibendung, nescaya pelbagai masalah sosial dan jenayah dapat dibanteras.

Data-data berikut dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kesan negatif minuman beralkohol: 

(i) Laporan Status Global mengenai Alkohol dan Kesihatan 2011 WHO menunjukkan pengambilan alkohol menyebabkan kematian 2.5 juta orang setahun di samping menjadi punca penyakit serta kecederaan kepada lebih ramai orang.

(ii) Statistik daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan 24.6 peratus mereka yang mengambil minuman beralkohol ini adalah untuk mabuk.

(iii) Berbeza dengan ketagih dadah, ketagihan alkohol tidak boleh serta merta berhenti. Berhenti serta merta boleh mengakibatkan sawan dan mereka juga berhadapan risiko untuk maut.

(iv) Antara penyakit kronik yang dikaitkan dengan pengambilan alkohol adalah penyakit kardiovaskular, kanser mulut, tekak, payu dara serta penyakit hati.

(v) 48 peratus daripada kes kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca daripada pengambilan alkohol.

(vi) Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga menunjukkan 5.3 peratus kes keganasan rumah tangga berpunca daripada alkohol manakala 4.5 peratus kes penderaan kanak-kanak.

(vii) Insiden pergaduhan kaum akibat mabuk sepanjang 2010 ialah 71 kes, 2009 (79), 2008 (131).

(viii) Mengikut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada 1996 sahaja, purata 2,713 kes rogol berlaku setiap hari. Kebanyakan perogol mabuk semasa melakukan jenayah tersebut.

(ix) Menurut satu statistik di United Kingdom, alkohol menyebabkan 45 hingga 46 peratus jenayah melibatkan 39 peratus keganasan dalam rumah tangga.

Oleh itu, saya menyeru dan mendesak kerajaan agar segera memulakan inisiatif untuk menguatkuasakan larangan penjualan arak di dalam kapal terbang dan penjualan secara terbuka di kedai runcit.

MISKAM JASMAN, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya