SAUDARA PENGARANG,
BANYAK kritikan diterima khususnya daripada pembangkang apabila Kementerian Kewangan pada 7 November lalu mengeluarkan kenyataan menjawab isu menukar kereta rasmi menteri daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.
Mereka memberi pelbagai komen dan menyindir kerajaan kerana berjaya menjimatkan RM2.80. Tetapi fakta ialah fakta yang tidak boleh dinafikan. Sewa bulanan untuk kereta buatan Jepun itu ialah RM4,851.61 manakala kereta nasional RM4,854.21.
Pada pendapat saya, apakah perlu untuk pembangkang mempropagandakan hal ini sedangkan kerajaan baru membentangkan Bajet 2022 sebanyak RM332.1 bilion?
Kita masih berusaha untuk memulihkan ekonomi negara daripada kesan pandemik Covid-19. Kenapa tidak memperincikan bajet yang terbesar dalam sejarah negara tetapi memilih menjadikan isu RM2.80 sebagai bahan sindiran?
Bukankah isu segelintir rakyat yang menolak dos penggalak vaksin Covid-19 atau masalah golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas teruk oleh pandemik lebih penting?
Isu kereta ini memang senang diputarbelitkan untuk membangkitkan sentimen, tetapi malangnya boleh mengaburi mata rakyat daripada isu-isu lain yang lebih penting.
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan penukaran kereta menteri-menteri pada Januari 2020. Kita perlu ingat, ini berlaku semasa dua pentadbiran yang lepas dan dua tahun telah berlalu.
Dalam masa itu, kereta-kereta ini semakin lusuh. Kos menyelenggara juga melonjak naik. Jadi, adakah mereka masih menolak hal ini jika PH masih berkuasa?
Kita perlu ingat, bukan perkara luar biasa untuk pemimpin kerajaan yang memerintah menggunakan kereta bukan buatan nasional.
Di Kelantan, Exco kerajaan negeri menggunakan Mercedes-Benz. Ketua Menteri Pulau Pinang pula mendapat Mercedes-Benz S560e bernilai RM458,000 pada Januari tahun ini. Semua Exco mereka juga mendapat Toyota Camry.
Tak dengar pun sesiapa yang bising? Maka, adalah amat hipokrit untuk mereka sekarang membicarakan tentang maruah negara.
Kita pun tahu, Proton Holdings Berhad bukan lagi 100 peratus milik Malaysia setelah Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. dari China mengambil alih pegangan yang besar dalam syarikat itu.
Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempelopori idea Proton juga mengakui hal ini. Jadi, apa hal dengan maruah negara ini?
Ada yang mencadangkan menteri menggunakan basikal atau pengangkutan awam tetapi ia bukan sesuatu yang praktikal.
Sebagai menteri, isu keselamatan dan imej adalah penting, bukan sahaja di Malaysia tetapi di semua negara. Mereka perlu berada di pelbagai tempat dan kadang-kadang mereka hanya dapat berehat di dalam kereta apabila bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Bukan menteri sahaja akan menaiki kenderaan terbabit. Ramai juga akan turut serta seperti penjawat awam yang mengiringi, anggota keselamatan dan mungkin juga wakil negara lain.
Toyota Vellfire 2.5L bukanlah sama kelas mewah seperti Porsche atau Maserati yang boleh dikatakan melampau jika dipilih sebagai kereta menteri kita.
Ia juga bukan jenama kereta yang jarang dimiliki kerana Toyota Vellfire 2.5L sering dapat dilihat di jalan raya kita.
JOHAN MEGAT ZABIDI, Segambut, Kuala Lumpur.