SAUDARA PENGARANG,
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI membenarkan pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) secara bersemuka dan perkara itu melegakan pelajar terutama mereka yang perlu menjalani pengajian di makmal.
Namun, sayangnya kementerian dilihat terlepas pandang satu perkara yang sangat penting bagi mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar terutama mereka yang tinggal di asrama.
Semasa mendaftar, prosedur operasi standard (SOP) sangat ketat, malah ibu bapa tidak dibenarkan menghantar anak ke bilik. Sebagai ibu bapa, saya memahami perkara itu demi kesihatan pelajar.
Namun, pelajar ini dibenarkan keluar dari pekarangan asrama dan pulang pada hujung minggu.
Bagi pendapat saya, perkara ini tidak patut berlaku kerana mereka akan terdedah dengan virus Covid-19 di luar, sedangkan ketika mendaftar tempoh hari, pelajar ini semua disahkan negatif sekali gus memberi risiko kepada pelajar lain selain menyebabkan sesi pembelajaran akan terbantut semula.
Harap kementerian peka dengan perkara ini dan ambil langkah sewajarnya agar sistem pendidikan negara tidak terbantut.
NORIAH NORDEEN, Kuala Lumpur