SAUDARA PENGARANG,
KELUARGA sejahtera dan hidup aman didambakan oleh setiap pasangan yang berumah tangga.
Hidup dalam suasana ceria, riang dan penuh kasih sayang tanpa ada situasi merosakkan keharmonian keluarga yang dibina.
Mewujudkan suasana harmoni dalam keluarga juga antara matlamat disasarkan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perlu dielakkan rumah tangga berpecah-belah, kehidupan menjadi kucar-kacir akibat masalah kewangan yang tidak dapat diatasi oleh ketua keluarga berpunca daripada tabiat suka berjudi.
Aktiviti perjudian sekarang tidak seperti pada 1990-an yang berlaku secara terang-terangan.
Pada masa kini, aktiviti itu sangat mudah untuk dilakukan dan sesiapa sahaja boleh terjebak jika tidak berwaspada.
Judi dalam talian kian berleluasa dan sangat membimbangkan. Walaupun pemantauan dan tindakan pihak berkuasa dapat mengurangkan aktiviti sedemikian, namun ia masih berada pada tahap serius.
Judi dalam talian agak susah untuk dipantau dan dibanteras oleh pihak berkuasa.
Beberapa agensi kerajaan sangat diperlukan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia.
Ini selaras dengan gesaan dibuat oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin baru-baru ini supaya kerajaan menguatkuasakan undang-undang baharu bagi memantau aktiviti judi dalam talian.
Ini kerana Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 sedia ada hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian.
Oleh itu, awasilah diri dan keluarga daripada terlibat dengan judi.
Dunia tanpa sempadan, jari dan akal jadi taruhan untuk berfikir dan bertindak secara matang.
Jangan jadikan kehidupan kita beban kepada orang lain.
KHAIRUL EFFENDI HASHIM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.