Jual di kedai serbaneka, stesen minyak tidak bijak - Utusan Malaysia

Jual di kedai serbaneka, stesen minyak tidak bijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terpanggil untuk memberi komen kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, baru-baru ini tentang kit ujian kendiri Covid-19 yang bakal dibenarkan penjualannya di rangkaian kedai serbaneka dan stesen minyak.

Walaupun keputusan ini berniat menyediakan kemudahan kepada orang ramai, ia tidak seharusnya diambil ringan kerana boleh membawa kesan negatif.

Memandangkan negara kita masih dibelenggu pandemik, pihak berkuasa tidak wajar memilih ‘kemudahan’ sekiranya ia bakal membawa kemudaratan dari segi keselamatan dan kualiti.

Apa yang saya maksudkan, kit ujian kendiri ini sememangnya boleh didapati dengan mudah di farmasi di setiap pelosok bandar dan kawasan perumahan.

Apabila membeli di farmasi, pengguna boleh yakin bahawa kit ujian ini telah diluluskan dan diperakui oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tetapi apabila penjualannya dibuka kepada pelbagai jenis premis, saya percaya akan wujudnya kit ujian tiruan yang tidak diluluskan oleh pihak berkuasa.

Sebagai analogi, pada masa pandemik ini baru bermula, permintaan untuk pelitup muka meningkat secara drastik. Disebabkan permintaan naik secara mendadak, pihak-pihak yang mahu meraih keuntungan mula menyediakan dan menjual pelbagai jenis pelitup muka.

Dari sinilah timbulnya beberapa kontroversi termasuk isu pelitup muka yang tidak memenuhi piawaian perubatan ditetapkan.

Malah terdapat laporan di mana pelitup muka dihasilkan menggunakan pelitup muka yang dikitar semula.

Dalam kes kit ujian kendiri pula, sekiranya ia dibenarkan dijual secara berleluasa, saya yakin isu kit tiruan atau yang tidak diluluskan juga akan timbul.

Malah sudah terdapat aduan dalam media sosial di mana kit ujian kendiri yang dibeli dalam talian tidak memberi keputusan yang tepat dan memuaskan.

Selagi Covid-19 masih wujud, tanpa kawalan kualiti yang betul, sudah pasti produk ini juga akan terjebak di pasaran gelap.

Perkara yang terlalu penting seperti kit ujian kendiri ini tidak wajar diambil mudah dan bakal membuka ruang untuk menjadi subjek penipuan yang membawa risiko tinggi kepada pengguna.

Sebagai bapa kepada dua orang anak, saya lebih yakin jika saya membeli kit ujian kendiri daripada farmasi atau klinik kerana sudah pasti kit itu akan disahkan dan diluluskan MDA dan KKM.

Buat masa kini, kit ujian kendiri cuma dapat dibeli di farmasi dan saya berpendapat, ini harus dikekalkan bagi menjamin kredibiliti serta memastikan legitimasi kit berkenaan.

Baru-baru ini, saya terbaca negara-negara seperti United Kingdom dan India mengumumkan kit ujian kendiri hanya boleh dijual di farmasi dan pusat kesihatan yang diluluskan.

Justeru, saya menyeru kerajaan agar tidak membuat keputusan secara melulu sekadar untuk populariti tanpa mempertimbangkan risiko keselamatan dan reperkusi negatif yang bakal timbul.

Saya juga hairan mengapa pengumuman untuk meluaskan penjualan kit ujian kendiri ke pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak dibuat oleh KPDNHEP dan bukannya KKM?

Bukankah perkara berkaitan pandemik sepatutnya diumumkan oleh KKM? Lebih-lebih lagi apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pada bulan lalu, farmasi adalah tempat terbaik untuk membeli kit ujian kendiri Covid-19.

Percanggahan antara kedua-dua kementerian ini bakal menimbulkan permasalahan kepada rakyat.

ADAM MALEK, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya