Galak penduduk sertai pertanian bandar organik - Utusan Malaysia

Galak penduduk sertai pertanian bandar organik

PERTANIAN bandar organik mampu menjana pendapatan untuk penduduk yang hilang pekerjaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAJET 2022 yang telah dibentangkan Jumaat lalu tidak lupa untuk memberi fokus terhadap sektor pertanian supaya Malaysia tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import pada jangka masa panjang.

Peruntukan bagi industri pertanian adalah sebanyak RM1.5 bilion termasuk bagi memberi subsidi benih dan baja.

Kerajaan juga menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan dan hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani serta pengusaha agromakanan.

Sesuai dengan pembentangan bajet itu dan fasa endemik Covid-19 yang baru sahaja bermula, situasi ini perlu disambut baik oleh rakyat dengan mengambil langkah drastik untuk menjana pendapatan.

Antara peluang yang dilihat cerah adalah dalam sektor pertanian bandar organik yang bukan sahaja dilihat mampu menjana pendapatan malah menjadi salah satu usaha memulihara alam sekitar.

Kedudukan Malaysia yang berada di tangga kelapan di rantau Asia Pasifik pada Indeks Keselamatan Makanan Global 2020 bukan petanda negara akan sering berada di kedudukan selesa.

Kedudukan itu boleh jatuh ke tangga bawah dengan perubahan corak permintaan yang sentiasa berubah dan kos sara hidup semakin meningkat hari demi hari.
Isu yang ingin dikupas di sini ialah pertanian bandar organik perlu dijadikan satu format perniagaan lebih jelas dan efisien dalam membantu masyarakat yang mengalami kemerosotan ekonomi keluarga akibat Covid-19.

Pertanian bandar organik boleh dijadikan batu loncatan dalam usaha membantu golongan asnaf, gelandangan dan keluarga yang hilang punca pendapatan untuk bangkit semula bagi meniti hari yang mendatang.

Agensi yang menguruskan hal kebajikan masyarakat seperti pusat zakat negeri boleh membimbing dan membantu menyediakan geran dana pertanian bandar organik.

Malah, tanah wakaf boleh digunakan untuk menjalankan pertanian bandar organik ini kerana kaedah sedemikian tidak memerlukan pembukaan kawasan pertanian baharu yang harus ditarah tanah atau ditebang pokok.

Cukup sekadar kawasan sedia ada yang boleh dikawal selia dari segi sistem pengairan yang baik dan apa yang menarik, pertanian bandar organik tidak perlu menggunakan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan sekali gus mengurangkan kos selenggaraan secara total.

Pemain industri yang boleh dijadikan rujukan ialah Ladang Organik Sunway yang terletak di Ipoh, Perak.

Kelebihan yang ada pada ladang sedemikian adalah penggunaan kaedah pertanian organik yang mesra alam semula jadi bagi memastikan pembeli dapat menikmati makanan yang selamat serta bebas bahan kimia.

Langkah sama turut dibuat oleh syarikat Sunway XFarms di Selangor yang meletakkan sasaran untuk mewujudkan ladang pertanian bandar organik dalam lingkungan lima kilometer dari setiap kawasan perumahan.

Kesimpulannya, sudah sampai masa kita mengguna pakai sumber yang tersedia dengan mengaplikasikan kaedah yang lebih inovatif seperti pengurusan tanah wakaf dan dana zakat untuk pertanian bandar organik.

Masyarakat perlu membiasakan untuk hidup lebih sihat dengan memastikan sumber makanan tidak tercemar dengan bahan kimia.

Malah, memilih sumber makanan seperti pertanian organik mampu memanjangkan jangka hayat manusia dan alam sekitar. Akhir kata, sumber makanan yang halalan toyibban (baik) merupakan fardu (kewajiban yang dituntut) untuk umat Islam.

NURUL ZAMRATUL ASYIKIN AHMAD & HARNIYATI HUSSIN, UiTM Melaka Kampus Alor Gajah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya