SAUDARA PENGARANG,
PENGALAMAN ini dilalui saya sendiri sebagai majikan yang rasa diabaikan selepas tidak melaksanakan arahan kerajaan dalam pemberian gaji minimum kepada pekerja.
Kerajaan melalui Bajet 2022 mengkaji semula dan mempertimbangkan kenaikan gaji minimum ke peringkat munasabah berdasarkan beban kenaikan harga barangan di musim pandemik.
Namun, terdapat majikan seolah-olah membuli dengan menafikan hak pekerja dengan membayar di bawah paras gaji minimum dan ini berlaku di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan. Mereka seolah-olah tidak peka terhadap perintah gaji minimum yang diwartakan oleh kerajaan.
Terdapat kes di mana jabatan mempertikaikan arahan ini dengan tidak mahu membayar tunggakan gaji minimum kepada majikan dan pekerja atau melambat-lambatkan pembayarannya sehingga bertahun-tahun.
Ada pula jabatan yang langsung tidak mahu bayar gaji mininum kononnya tiada peruntukan atau tiada dalam perjanjian asal sehingga pekerja membawa kes ini ke Mahkamah Jabatan Buruh dan mereka diarahkan untuk membayar tunggakan tersebut menggunakan wang syarikat.
Disebabkan isu ini, majikan terpaksa naik turun mahkamah dan perlu menanggung kerugian besar. Saya sendiri diarah oleh Mahkamah Jabatan Buruh untuk membayar tunggakan gaji minimum kepada pekerja.
Di mana keadilan kepada majikan? Kenapa peringkat pelaksana di kementerian atau jabatan mengabaikan kebajikan majikan?
Sepatutnya kementerian dan jabatan mengenang jasa dan usaha setiap majikan yang berusaha menyediakan pekerja, membayar gaji, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pihak kerajaan. Namun, kementerian lepas tangan dengan mengabaikan kebajikan majikan terutama melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Soalannya, patutkah majikan diperlakukan sedemikian? Di manakah majikan mahu mengadu dan mencari keadilan untuk menampung bayaran gaji minimum kepada pekerja masing- masing?
HADI, Utara Semenanjung