Cukuplah alasan klise buang bayi - Utusan Malaysia

Cukuplah alasan klise buang bayi

IBU yang tergamak membuang bayi ini sepatutnya sedar itu adalah satu perbuatan yang sangat zalim. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

FAKTA sekurang-kurangnya purata sembilan kes buang bayi dilaporkan berlaku dalam sebulan sama ada ditemukan hidup atau mati sejak 2018 hingga September lalu cukup menggerunkan.

Tatkala banyak pasangan mendambakan cahaya mata, kita dikejutkan dengan laporan seperti ini.

Persoalan utama, apa dosa dan salah bayi yang baru dilahirkan ini sehingga tergamak dibuang begitu sahaja?

Malah lebih menyedihkan, si pelaku jenayah itu kebanyakannya ibu kandung bayi tersebut dan kenalan yang bersubahat.

Walaupun si pelaku sering kali dapat dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman, namun bilangan kes terus meningkat. Jelas sekali, masih ramai yang tidak mengambil iktibar dengan kes buang bayi yang didedahkan selama ini.

Ini juga menunjukkan masih banyak lagi ruang kelemahan dalam masyarakat kita yang perlu ditangani supaya anak-anak ini dapat diselamatkan.

Cukuplah pelbagai alasan klise yang kita dengar daripada orang yang sanggup membuang bayi seperti mengandung anak luar nikah, takut dimarahi keluarga, masalah kewangan, malu dan belum bersedia.

Kita perlu sedar, ini adalah masalah sosial yang cukup serius kerana majoriti pasangan terlibat dalam kes ini adalah remaja dan belia sekali gus mencerminkan tahap kecelaruan masalah sosial dalam kalangan kelompok ini.

Oleh itu, masyarakat perlu memainkan peranan lebih agresif dan proaktif bagi membantu memeranginya.

Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab di atas bahu pihak berkuasa atau agensi kerajaan semata-mata kerana punca utama di peringkat akar umbi datang daripada sikap diri sendiri, ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Misalnya, ibu yang tergamak membuang bayi sepatutnya sedar itu adalah satu perbuatan sangat zalim dan tidak berperikemanusiaan walau apa pun alasannya.

Justeru, kita memohon kepada mana-mana individu yang berhadapan dengan masalah seperti ini serta takut atau malu, janganlah mengambil sebarang keputusan berpaksikan emosi.

Sebaliknya, mereka perlu mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah dengan baik sekali gus boleh melindungi bayi yang tidak bersalah.

Dalam konteks ini, sudah tentu golongan ibu bapa juga perlu memainkan peranan besar kerana hampir 30 peratus suspek dilaporkan berusia antara 18 hingga 25 tahun dan kebanyakan mereka telah bekerja dan tinggal berasingan daripada keluarga.

Ibu bapa perlu sedar, walaupun anak kita sudah bekerja dan tinggal berasingan, itu bukan lesen untuk kita cuci tangan atau lepaskan tanggungjawab begitu sahaja atas alasan mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri.

Ingatlah, kita masih bertanggungjawab untuk terus mendidik dan memantau segala gerak-geri dan aktiviti mereka.

Pada masa sama, masyarakat juga perlu terlibat menangani wabak sosial ini. Tidak salah untuk kita menjaga tepi kain orang dalam hal seperti ini asalkan niat kita baik. Sentiasa peka dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Semangat Keluarga Malaysia perlu diperkasakan supaya kita dapat melahirkan komuniti yang prihatin, bertanggungjawab dan saling bantu-membantu.

NOOR MOHAMAD, Serdang, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya