SAUDARA PENGARANG,
PEMBENTANGAN Bajet 2022 baru-baru ini mengundang persepsi bahawa perbezaan peruntukan untuk bumiputera dan bukan bumiputera tersangat besar.
Hinggakan dianggap sebagai ketidakadilan kepada bukan bumiputera seperti dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di Dewan Rakyat.
Menurutnya, adalah tidak adil apabila kaum Cina dan India hanya diperuntukkan tiga peratus berbanding 97 peratus yang disediakan untuk bumiputera dalam bajet berkenaan.
Jelas Hassan, walaupun dirinya seorang penggubal undang-undang Melayu dan beragama Islam, beliau tidak boleh berdiam diri berhubung layanan tidak adil yang dihadapi oleh bukan bumiputera.
Isu ini juga menarik perhatian ahli politik pembangkang lain. Jika tiada penjelasan munasabah tentang isu ini daripada kerajaan, saya khuatir ia akan terus menjadi kudis dalam hubungan kaum di negara ini.
Setiap tahun kerajaan memberi peruntukan tinggi untuk bumiputera. Secara logik, ramai bumiputera sepatutnya sudah berada dalam kategori berpendapatan pertengahan (M40) dan yang bernasib baik menjadi kaya-raya.
Tetapi realitinya tidak begitu. Memang ada yang berjaya mengubah nasib melalui bantuan pemerintah terutama pembiayaan pendidikan yang berjaya melahirkan kumpulan profesional makan gaji dengan kerajaan atau swasta.
Tetapi dalam bidang-bidang komersial, keusahawanan, teknologi dan perindustrian, kaum bumiputera masih jauh ketinggalan.
Kenapa setelah 64 tahun merdeka dan mempunyai kerajaan mesra bumiputera, golongan itu masih jauh ketinggalan?
Sudah tiba masanya para pakar menelusuri dengan teliti money trail (aliran wang) peruntukan kerajaan untuk bumiputera dari seawal pengeluaran, diterima di pertengahan hingga ia dibelanjakan.
Penelitian perjalanan dana ini boleh memberi gambaran jelas kegagalan atau kejayaan polisi kerajaan dalam usaha menaik taraf kehidupan rakyat secara amnya.
Perlu diingat, kebanyakan peruntukan untuk bumiputera bukan semua dalam bentuk geran. Kebanyakan dana adalah dalam bentuk pinjaman yang mesti dibayar balik.
Sebagai peniaga kecil, semua pembekal saya ialah orang Cina. Masyarakat Cina memiliki ciri-ciri peniaga yang boleh diteladani oleh bumiputera.
Oleh kerana semua pembekal dari peringkat pengimport hingga pemborong adalah bukan bumiputera.
Justeru, mereka tidak perlu gusar kerana setidak-tidaknya 80 peratus daripada peruntukan besar untuk bumiputera dalam Bajet 2022 akhirnya mengalir ke tangan bukan bumiputera.
Inilah realitinya! Begitu juga halnya dengan sumbangan RM700 untuk setiap penjawat awam, akhirnya akan menolong ekonomi bukan bumiputera juga.
Memang ada kaum India, Cina dan lain-lain yang hidup susah dan perlukan bantuan. Mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pihak pemerintah kerana semua agensi kerajaan sekarang adalah ‘buta kaum.’
Malangnya, ramai bukan bumiputera tidak peka dengan pelbagai bantuan yang boleh dihulurkan jabatan kerajaan bagi membantu mereka.
Ini kerana mereka mungkin kekok untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu serta tidak mengikuti saluran rasmi komunikasi kerajaan sehingga berasa terpinggir.
T. AZEMAH T. ABDULLAH, Seri Kembangan, Selangor.