SAUDARA PENGARANG,
JULUKAN Jurgen Kloff Malaysia buat Thomas Trucha sentiasa dinantikan di sebalik magisnya yang mampu untuk membawa kelab Penang FC beraksi dalam final Piala Malaysia. Namun, kali ini terbantut disebabkan fokusnya adalah bagi menyiapkan perancangan pasukan untuk musim depan.
Kenyataan ini merujuk sidang akhbar selepas tamat saingan Kumpulan A baru-baru ini. Apa yang tidak percaya serta mengejutkan penyokong kelab Penang FC ialah pemainnya tidak diminta terlalu berharap dengan keputusan perlawanan kerana kancah Piala Malaysia sekadar medan ujian pemain sahaja.
Sudah puas beliau menerima cemuhan penyokong serta dikritik hebat daripada pemerhati sukan bola sepak negara. Adakah kenyataan tersebut untuk mengelak daripada menjawab atau dianggap cuba mahu menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum jika terdapat masalah dalaman melibatkan pemain dan pengurusan kelab yang menyebabkan prestasi Penang FC merundum teruk?
Sungguhpun begitu, tidak dinafikan menduduki tempat ketiga Liga Super adalah pencapaian terbaik Penang FC kerana bukan sesuatu yang dianggap mudah terpaksa mengharungi banyak perlawanan tanpa penyokong.
Bunyinya sedikit pelik dan belum pernah dibuat oleh mana-mana pasukan bola sepak negara, kononnya apa yang dititikberatkan kepada setiap pemain adalah kasih sayang dan kekeluargaan.
Namun, yang terjadi adalah sebaliknya kerana desas-desus terdapat beberapa pemain yang dipinjamkan oleh Penang FC sebelum ini akan kembali ke kelab asal atau berhijrah ke pasukan negeri lain.
Perkembangan ini tentunya akan lebih menggusarkan lagi perasaan penyokong Penang FC selepas dikecewakan pada musim ini dan apakah pula nanti nasib pasukan ini pada musim akan datang?
Maka sekiranya Thomas dikekalkan sebagai Ketua Jurulatih, tiada pilihan lain buat dirinya selain terpaksa membuat ‘kerja rumah’ bermula sekarang selepas kehilangan beberapa pemain yang menjadi tonggak penting.
Melalui sidang akhbar tersebut, dia akan memastikan pemainnya nanti mempersembahkan corak permainan berbeza dan menarik berbanding sekarang kerana bermain di stadium kosong tanpa penonton.
Kami sebagai penyokong Penang FC dari awal lagi percaya akan kelebihan dimiliki Thomas. Kami kini lega dan terubat yang akhirnya dia membuat pengakuan serta dianggap berani berjanji kepada penyokong dan pengurusan pasukan.
Lebih manis lagi sekiranya Thomas berjaya membawa Penang FC melangkah ke final Piala Malaysia musim depan. Jika tidak menjadi kenyataan, anggaplah sahaja umpama mimpi dalam mimpi.
MUZAKKIR IBADURAHMAN, Pulau Pinang